Elak politik isu pendidikan, tegas Mukhriz

Mukhriz (duduk, lima dari kanan) bergambar bersama wakil-wakil NGO Cina Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (duduk, lima dari kanan) bergambar bersama wakil-wakil NGO Cina Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cina Kedah dan kerajaan negeri sepakat untuk tidak menjadikan isu pendidikan sebagai bahan politik terutama isu remeh yang tidak wajar diperbesarkan sehingga menjadi topik persengketaan antara kaum.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, isu pendidikan yang dibangkitkan pihak tertentu tidak perlu digembar-gemburkan bagi memastikan hubungan antara kaum kekal harmoni.

Menurutnya, setiap perbezaan pendapat seharusnya diuruskan dengan baik dan tenang tanpa mencetuskan pertelingkahan antara masyarakat pelbagai kaum.

“Ini antara aspek penting dalam hubungan antara kerajaan negeri dengan NGO. Isu berkaitan pendidikan sepatutnya tidak dipolitikkan.

"Kita semua mempunyai satu aspirasi bersama iaitu untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik supaya dapat menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil NGO Cina Kedah mewakili badan pendidikan, perniagaan, kebudayaan serta kebajikan di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah, Simon Ooi Tze Min serta Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew.

Mukhriz berkata, banyak lagi perkara lebih penting yang harus diberikan tumpuan berbanding berbalah pendapat sehingga ia dijadikan isu politik.

Artikel Berkaitan:

“Dalam perjumpaan ini antara isu dibangkitkan adalah pendidikan dan ekonomi. Secara keseluruhannya, kami mempunyai azam yang tinggi untuk memastikan hubungan antara kaum diurus dengan baik supaya Kedah yang berhasrat menjadi negeri makmur, sentiasa aman damai,” katanya.

Menurutnya, untuk membangunkan negeri itu, semua pihak harus bekerjasama supaya kelebihan yang belum dicungkil sepenuhnya dapat diketengahkan kepada pelabur asing.

“Apabila kita bertemu pelabur asing, barulah kita boleh beritahu mereka kita ada kelebihan contohnya aspek pendidikan bahawa kita mampu lahirkan graduan yang penuhi permintaan pasaran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!