Dipenjara 20 tahun di Israel, novel banduan Palestin menang hadiah berprestij
PENULIS warga Palestin, Basim Khandaqji yang dipenjarakan sejak 20 tahun lalu di Israel memenangi hadiah berprestij fiksyen Arab bagi novelnya bertajuk A Mask, the Color of the Sky.
Daripada 133 karya, hasil 'buah tangan' Khandaqji itu telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Hadiah Antarabangsa 2024 Fiksyen Arab yang diumumkan dalam satu majlis di Abu Dhabi pada Ahad.
Hadiah itu diterima bagi pihak Khandaqji oleh Rana Idriss, pemilik Dar al-Adab, penerbit buku yang berpangkalan di Lubnan.
Dilahirkan di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki Israel pada 1983, Khandaqji disabitkan kesalahan dan dipenjarakan atas tuduhan berkaitan pengeboman maut di Tel Aviv.
Khandaqji menamatkan pendidikan di peringkat universiti secara dalam talian dari dalam penjara. Khandaqji menulis cerpen sehingga penahanannya pada 2004 ketika berusia 21 tahun.
Perkataan Mask (topeng) dalam tajuk novel itu merujuk kepada kad pengenalan biru identiti seorang ahli arkeologi bernama Nur yang tinggal di kem pelarian di Ramallah, ditemukan dalam poket kot lama milik warga Israel.
Ketua juri pertandingan, Nabil Suleiman berkata, novel itu 'membedah' realiti yang kompleks dan pahit mengenai perpecahan keluarga, perpindahan, pembunuhan beramai-ramai dan perkauman.
Sejak dipenjarakan, Khandaqji menulis pelbagai koleksi puisi termasuk Rituals of the First Time dan The Breath of a Nocturnal Poem selepas dia menulis tiga buah novel. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!