Fitnah terhadap SKMM: Laporan polis dibuat ke atas Murray Hunter

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) membuat laporan polis terhadap penulis blog, Murray Hunter yang menuduh suruhanjaya tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

Menurut SKMM, pihaknya menolak sekeras-kerasnya tohmahan oleh penulis blog berkenaan yang disifatkan sebagai tidak berasas.

“Sebagai sebuah badan berkanun, SKMM melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah SKMM lagi, segala tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh pihaknya mengikut proses dan prosedur ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasa SKMM sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara.

Sehubungan itu, dakwa SKMM, penulisan Murray dilihat berunsur fitnah apabila beliau secara terbuka telah menuduh mereka bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk kepentingan diri.

Pada masa sama dakwanya, penulis itu turut melemparkan tohmahan bahawa SKMM dan PDRM bertindak menakut-nakutkan masyarakat.

“Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan bawah Seksyen 233 AKM 1998.

“Selain itu, tindakan memuat naik kandungan yang memfitnah dan menghina SKMM juga merupakan satu kesalahan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata SKMM lagi, sekiranya Murray mempunyai sebarang aduan terhadap pihaknya, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!