Pengerusi ACWA Power minat labur lebih AS$10 bilion di Malaysia

Anwar bersama Mohammad A Abunayyan di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) hari ini. Foto Bernama
Anwar bersama Mohammad A Abunayyan di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

RIYADH - Syarikat gergasi tenaga boleh baharu (TBB) berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power, berminat untuk melabur lebih AS$10 bilion (AS$1=RM4.77) di Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

Antara projek yang dicadangkan termasuk projek menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan, Cypark Resources Bhd.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengerusi syarikat, Mohammad A Abunayyan yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini, hari ini.

Turut serta dalam pertemuan selama setengah jam itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pengurusan tertinggi Cypark Resources dan Kumpulan Jakel yang merupakan pemegang saham utama Cypark Resources.

Pengerusi Eksekutif Cypark Resources, Datuk Ami Moris berkata, kerjasama dalam TBB itu kini dalam peringkat perbincangan akhir dan dijangka dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

"ACWA Power adalah antara syarikat TBB terbesar dunia yang berminat untuk melabur di Malaysia, melaksanakan pemindahan teknologi dan berkongsi kepakaran untuk taman perindustrian di Jasin, Melaka dan Kerian, Perak melibatkan penjanaan pusat data hijau,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Jakel berkata, Jakel Capital selaku pemegang saham utama Cypark Resources, turut terlibat dalam projek TBB berkenaan.

"Kami di Riyadh untuk berbincang mengenai kerjasama ini dan Jakel juga memiliki beberapa tanah yang boleh dijadikan ladang solar untuk membekal tenaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, hari terakhir mesyuarat khas WEF hari ini menyaksikan Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif dan Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani.

Anwar turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan.

Mesyuarat khas WEF selama dua hari bermula semalam dan bertemakan 'Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan,' dihadiri lebih 1,000 peserta, termasuk ketua-ketua negara serta kerajaan selain pemimpin perniagaan dan industri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!