Tak usah campur urusan rumah tangga orang lain
SEMINGGU dua ini panas kisah rumah tangga sepasang selebriti. Tak perlu Merak Jalanan sebut nama kerana satu Malaysia sudah tahu.
Boleh kata setiap hari kisah mereka dilaporkan secara meluas dan terbuka di media massa.
Masuk grup whatsApp ada cerita dia, buka Facebook pun ada. Buka Instagram pun ada, buka TikTok pun cerita dia lagi. Di mana-mana cerita dia saja.
Ada macam-macam watak. Suami orang buaya darat yang sudah banyak kali ‘kantoi’, isteri yang tersakiti, ragam penyondol, pembabitan kekasih gelap, cameo beberapa pelakon cantik yang terjebak dan dipanaskan pula dengan campur tangan pihak lain.
Merak Jalanan harap ada pengarah yang berminat untuk buat filem adaptasi kisah benar cinta 3 segi, 4 penjuru mereka dengan tajuk ‘I L U, M U S M’. Mesti meletup!
Bagi Merak Jalanan, kita jangan masuk campur menambah bara dan jadi pencetus kepada gangguan emosi mana-mana pihak. Cukup doa yang terbaik saja.
Kalau di mata kita si penyondol itu jahat, apa bezanya kita yang berdomba dan masuk campur hal orang lain?
Jangan terlalu menjaga tepi kain orang kerana setiap rumah tangga mempunyai kisah yang tersendiri.
Media massa pun tak perlu nak sibuk-sibuk laporkan kisah mereka ini. Bak kata orang muda sekarang ni, semak!
Orang ramai khususnya netizen pula janganlah memberi komen melampaui batas, menjatuhkan maruah dan mempersendakan mereka tanpa rasa berdosa dan bersalah.
Memang enak bila bercerita tentang kisah hidup dan keburukan orang lain tetapi ingatlah bumi sentiasa berputar.
Setiap orang ada harinya dan beringatlah dalam menjaja kisah hidup orang.
Hari ini kita menjaja kisah orang, besok kisah hidup kita yang buruk akan disebarkan.
Jika kita tidak mampu jadi batu permata yang menyelamatkan rumah tangga, janganlah jadi batu api yang merosakkan rumah tangga orang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!