Parut jatuh motor masih berbekas, pengundi KKB mahu isu jalan diberi perhatian
HULU SELANGOR - Aspek penyelenggaraan jalan antara isu dibangkitkan pengundi muda yang berharap perkara itu diberikan perhatian bakal wakil rakyat Kuala Kubu Baharu.
Seorang jurujual, C Turka, 22, berkata, keadaan jalan rosak dan berlubang pernah menyebabkannya jatuh motosikal empat tahun lalu hingga meninggalkan kesan parut di tangan kanan hingga kini.
Menurutnya, situasi sama juga pernah dihadapi abangnya yang turut mengalami kemalangan disebabkan masalah jalan teruk di DUN tersebut.
"Masalah jalan sudah lama namun tidak diberikan perhatian hingga menyebabkan kemalangan dan membahayakan pengguna.
"Selain itu, lampu jalan juga perlu ditambah baik terutama di kawasan gelap dan tempat kerap berlaku kemalangan," katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, dia berharap penumpuan meningkatkan peluang pekerjaan terus dipergiatkan agar anak muda tidak perlu merantau ke Kuala Lumpur untuk bekerja.
Ujarnya, sebagai anak muda dia menghadapi kesukaran untuk mendapat peluang pekerjaan apabila terpaksa bersaing dengan warga asing yang menjadi pilihan dalam kalangan majikan.
"Kebanyakan anak muda terpaksa bekerja di Kuala Lumpur sebab kebanyakan majikan lebih memilih orang luar berbanding orang tempatan.
"Mana-mana sektor bila kita minta kerja kata tak ada kekosongan tapi kemudian diisi dengan warga asing. Kita pun tak tahu sebabnya harap kerajaan dapat berikan perhatian masalah ini," katanya.
Pembantu kedai, Mohamad Amir Wafiy Mohd Ridhuan, 20, pula berharap, wakil rakyat yang dipilih kelak dapat memberikan tumpuan penyaluran dana bagi program belia dan sukan peringkat komuniti dan daerah.
"Saya ada masuk kelab belia dan sukan di taman perumahan tapi susah untuk dapat dana. Cuma baru-baru ini ada diberikan penggantian bumbung di gelanggang futsal.
"Jadi harap pemberian dana ini dipermudahkan kerana proses permohonan mengambil masa lama untuk diluluskan, mohon sejak 2019 cuma tahun ini baru dapat," katanya.
Dalam pada itu seorang pembantu kedai, Mohd Ridzuan Samsumni, 28, berkata, banyak perubahan positif di Kuala Kubu Baharu susulan penyandang terdahulu, Lee Kee Hiong dulu giat membangunkan kawasan berkenaan.
"Jalan diselenggara secara berkala dan peluang pekerjaan pun banyak cuma kalau boleh perbanyak lagi bidang profesional supaya anak muda tidak perlu bekerja di luar," katanya.
Dia turut memaklumkan sudah mempunyai pilihan untuk mengundi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.
PRK Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!