PRK KKB: Dakwa pemimpin PH cepat koyak, Nie Ching tempelak Ahmad Fadhli
HULU SELANGOR - Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching menempelak Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari susulan kenyataannya mendakwa pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) cepat melatah serta mudah melenting sekiranya dikritik.
Jelas Timbalan Menteri Komunikasi itu, membalas kritikan dan melenting merupakan dua perkara berbeza.
"Saya rasa kenyataan itu (dibuat Ahmad Fadhli) tidak cukup matang. Apabila ada orang serang kenyataan mereka, dikatanya cepat melatah.
"Jadi, saya rasa tidak perlu label orang lain dengan macam-macam gelaran jika mereka diserang atau dikritik balik.
"Saya rasa pemimpin tersebut patut fikir sendiri dan beliau terperangkap dengan kenyataan yang dibuat itu," katanya kepada pemberita ketika program jelajah mesra di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu bersama calon PH, Pang Sock Tao, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Fadhli yang mendakwa pemimpin dan penyokong PH cepat melenting apabila dikritik.
Kenyataan itu dibuat Ahli Parlimen Pasir Mas melalui hantaran Facebooknya pada Isnin susulan cabaran yang dibuat terhadap Sock Tao.
Isu berkaitan pencapaian pendidikan calon menjadi tumpuan kempen PRK kali ini susulan wujud dakwaan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mengemukakan sijil palsu.
Bagaimanapun isu tersebut selesai selepas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengesahkan sijil Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dimiliki Khairul Azhari.
Sebagai menyahut cabaran dibuat oleh pemimpin pembangkang itu, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tersebut turut menayangkan slip keputusan cemerlangnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!