PH tidak mahu terlalu selesa di PRK KKB - Nie Ching

Nie Ching (dua dari kanan) ketika membantu kempen Sock Tao di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu, pada Selasa.
Nie Ching (dua dari kanan) ketika membantu kempen Sock Tao di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu, pada Selasa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Jentera Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar terus bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi dan tidak boleh berada dalam keadaan selesa sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu ini.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, ini kerana kedudukan sebagai penyandang kerusi tersebut belum tentu menjamin kemenangan.

"Kita baru sahaja memasuki kempen hari keempat dan kita tidak rasa kita berada dalam keadaan selesa (yakin menang).

"Bagi kami, kempen akan diteruskan sampai saat akhir. Jadi kita tidak boleh rasa ini kerusi kita walaupun kita adalah penyandang.

"Kita akan teruskan berkempen sebagai underdog kerana saya rasa kempen ini (untuk kekalkan kemenangan) sangat penting bukan sahaja untuk DAP tetapi kerajaan Selangor juga," katanya kepada pemberita ketika program jelajah mesra di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, pihaknya akan menumpukan kepada usaha untuk menarik pengundi luar balik ke kampung halaman pada hari pengundian nanti.

Ujarnya, cabaran itu perlu ditangani memandangkan ramai anak muda khususnya pengundi di kawasan tersebut bekerja di Kuala Lumpur dan lain-lain tempat.

"Kita faham untuk sesuatu PRK cabaran yang perlu ditangani adalah peratusan keluar mengundi rendah. Jadi inilah tumpuan yang perlu diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan bebas, Nyau Ke Xin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!