Peniaga didenda RM8,000 tipu daftar kelahiran
JERANTUT - Seorang peniaga didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jerantut, di sini pada Selasa atas pertuduhan mendaftar kelahiran lebih dari sekali, pada September tahun lepas.
Tertuduh, Abdul Aziz Saini, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda.
Tertuduh diwakili peguam, Datuk Dr Ng See Teong manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya JPN Pahang, Mohd Nurhisham Mohd Sufian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 12 September 2023, kira-kira jam 1.10 petang di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Jengka, tertuduh dengan sengaja mendaftar kelahiran berkenaan dengan seseorang dibuat lebih daripada sekali semasa membuat permohonan pendaftaran lewat kelahiran atas nama anak sulungnya.
Tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 36(1)(g) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada tarikh dan waktu sama di kaunter terbabit, tertuduh telah membuat permohonan pendaftaran lewat kelahiran anaknya atas nama anaknya yang kini berusia 17 tahun.
Semakan pada salinan rekod kesihatan dan perkembangan kanak-kanak yang dikemukakan oleh tertuduh ketika membuat permohonan pendaftaran lewat kelahiran mendapati kanak-kanak tersebut telah memiliki sijil kelahiran bernombor BW63005 atas nama kanak-kanak terbabit yang telah didaftarkan dan dikeluarkan pada 9 Januari 2008 di JPN Bandar Jengka.
Hasil soal siasat, tertuduh mengesahkan dan mengaku menyimpan sijil kelahiran asal bernombor BW63005 atas nama kanak-kanak itu dan menyerahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk dibuat penahanan dokumen.
Dalam rayuan yang dikemukakan oleh See Teong, tertuduh tidak memiliki pendapatan tidak menentu sebagai peniaga kecil selain perlu menanggung tiga anak iaitu dua daripadanya masih bersekolah.
"Tertuduh telah berkahwin dengan seorang warga Kemboja dan pada masa kini isterinya tidak dapat dikesan.
"Tertuduh juga menyesal dan insaf atas kesalahan yang dibuat sendiri oleh kerana tiada pengetahuan luas mengenai pendaftaran kelahiran.
"Tertuduh juga telah mengaku salah di mana ia menjimatkan masa dan kos awam. Saya merayu hukuman denda paling minimum kerana keadaan hidupnya kini ibarat 'kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang," katanya lagi.
Dalam pada itu, Pembantu Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Jeffri Abd Rashid memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan untuk memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat atas kesalahan yang dilakukan.
Nur Syafiqah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM8,000 atau penjara 10 bulan jika denda gagal dijelaskan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!