Che'gu Bard mengaku tidak salah pertuduhan Akta Hasutan 1948
JOHOR BAHRU - Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan membuat penerbitan menghasut di media sosial berhubung projek kasino di Forest City Jumaat lalu.
Bagaimanapun Badrul Hisham, 45, atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasidah Roslee.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat penerbitan menghasut akaun Facebook atas nama Che'GuBard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang 26 April lalu.
Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Masri Mohd Daud, Abdul Ghafar Ab Latif, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar, manakala Chegu Bard diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Che'gubard bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin.
Selain itu, pendakwaan turut memohon perintah larangan agar tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham memohon kadar ikat jamin itu dikurangkan.
"Anak guam saya telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak yang mana tiga daripadanya masih lagi bersekolah sementara anak bongsu, merupakan orang kurang upaya 'autisme'.
"Selain itu, anak guam juga sudah dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur dengan jaminan ditetapkan pada RM10,000 dengan seorang penjamin.
"Perintah larangan yang dimohon pihak pembelaan pula tidak khusus dan bersifat injuksi. Perintah itu adalah tidak berperlembagaan kerana mengikut Perkara 10, rakyat Malaysia ada kebebasan untuk membincang sesuatu perkara secara terbuka mengikut undang-undang," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, turut hadir sebagai peguam pemerhati dan memberi sokongan terhadap Che'gu Bard.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!