Kepimpinan baharu PKR Perak sedia bantu MB
IPOH - Barisan kepimpinan baharu PKR Perak akan memberi komitmen penuh membantu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam melancarkan pentadbiran kerajaan PH Perak pada masa hadapan.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, komitmen diberikan bertujuan memberi anjakan kemajuan ekonomi dan sosial kepada seluruh rakyat Perak sepanjang pentadbiran kerajaan PH Perak pada penggal ini.
Menurutnya, dalam konteks negeri Perak, pihaknya bersama teman-teman lain berikrar akan terus memberi komitmen memperkasa agenda Reformasi dan memberi sokongan penuh menjayakan segala gerak
kerja yang baik yang mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan rakyat negeri Perak.
"Kerjasama antara parti-parti dalam PH juga menjadi agenda penting PKR Perak bagi memastikan kerjasama antara parti-parti berada dalam keadaan yang teguh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Farhash Wafa Salvador berkata, pihaknya turut mengucapkan jutaan tahniah atas perlantikan jawatan-jawatan dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR sesi 2018-2021.
Menurutnya, pihaknya amat berharap rakan-rakan dilantik dapat memikul amanah jawatan dengan baik di samping melakukan tugasan dengan sepenuh hati dan bertanggungjawab.
"Saya meletakkan harapan yang besar untuk barisan kepimpinan yang baru ini dapat memacu arus Reformasi dan memenuhi aspirasi dan visi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manutty kerana dapat menterjemahkan kemenangan besar bersama rakan-rakan PH dalam menumbangkan regim terdahulu yang mengemudi negara selama lebih 60 tahun.
"Sesungguhnya adalah menjadi teras perjuangan PKR untuk membela dan memberi keadilan
kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Farhash Wafa Salvador berkata, pihaknya turut menyeru seluruh anggota PKR bersatu hati dan teguh
berdiri di belakang agenda Reformasi yang menunjangi perjuangan parti selama hampir 20
tahun ini.
"Kepimpinan parti dinakhodai Presiden parti sedang berada dalam keadaan terkuat bagi mengepalai dan membawa Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi Asia dalam tahun-tahun mendatang, Insya-ALLAH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!