Influenza A: Dua bayi antara sembilan kanak-kanak dijangkiti di JB

Aminolhuda (tengah) pada sidang media selepas selesai melawat pesakit influenza A di Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini.
Aminolhuda (tengah) pada sidang media selepas selesai melawat pesakit influenza A di Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua bayi berusia sembilan bulan antara sembilan kanak-kanak di daerah ini yang disahkan dijangkiti influenza A.

Kesemua mereka kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sejak beberapa hari lalu.

Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, bagaimanapun tahap kesihatan kesemua kanak-kanak itu masih berada dalam keadaan terkawal selain tiada yang ditempatkan di zon kritikal dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kanak-kanak yang menerima rawatan ini adalah berusia daripada lima tahun hingga sembilan bulan. Buat masa ini hanya dua bayi kita letakkan bawah penjagaan manakala tujuh lagi menerima rawatan dan dalam proses pemulihan.

"Syukur, sebenarnya jumlah ini juga adalah penurunan daripada 13 kanak-kanak yang dilaporkan semalam selebihnya sudah dibenarkan keluar," katanya pada sidang media sejurus lawatannya di HSA di sini sebentar tadi.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu dan Pengarah HSA, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Aminolhuda berkata, dalam lawatannya itu, pihaknya juga dimaklumkan terdapat lapan lagi pesakit dewasa yang turut disahkan dijangkiti wabak berkenaan dan sedang menerima rawatan susulan.

"Ada lapan pesakit dewasa yang dimaklumkan, kebanyakannya adalah warga emas berusia 65 tahun ke atas dan yang mempunyai penyakit kronik tetapi semua stabil dan hanya ditempatkan di wad biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai penyebaran wabak berkenaan di daerah-daerah yang lain, Aminolhuda berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat khusus namun menasihati orang ramai untuk segera mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mempunyai simptom.

"Saya dimaklumkan influenza ini adalah penyakit bermusim, penting diingatkan kepada semua untuk menjaga kebersihan, elakkan juga berada di tempat yang tertutup kerana penyebaran melalui udara lebih mudah berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!