Petronas Dagangan catat jualan lebih 16 bilion liter bahan api pada 2023
PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatat rekod jualan melebihi 16 bilion liter bahan api pada tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak lapan peratus tahun ke tahun.
PDB dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-42 berkata, walaupun harga jualan purata lebih rendah, ia menyaksikan peningkatan hasil sebanyak dua peratus disebabkan jualan lebih tinggi dan keuntungan selepas cukai meningkat sebanyak 23 setiap sen, mencecah hampir RM1 bilion.
Menurut kenyataan itu, disokong oleh prestasi kukuh, PDB mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 80 sen sesaham.
“Perniagaan runcit mencapai rekod jumlah jualan pada 2023 dan ia dipacu oleh perkhidmatan pelanggan yang unggul, produk berkualiti premium dan penyelesaian digital seperti program kesetiaan Mesra Rewards tanpa kad.
“Bagi perniagaan komersial menyaksikan pertumbuhan kukuh sebagai tindak balas kepada permintaan yang meningkat semula dalam sektor penerbangan dan huluan,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Dalam pada itu, PDB memaklumkan bahawa pihaknya sedang merintis dan meneroka pengembangan bahan api alternatif yang lebih bersih seperti Bahan Api Penerbangan Mampan, Biodiesel dan gas asli cecair (LNG) ke dalam pasaran.
Tambah kenyataan itu, perniagaan gas petroleum cecair (LPG) mengatasi pertumbuhan industri dengan peningkatan enam peratus dan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam kedua-dua segmen isi rumah serta Komersial.
Menurutnya, ia telah memperoleh lebih 40 pelanggan komersial baharu merentasi pelbagai sektor seperti peruncitan, makanan dan minuman (F&B) serta hospitaliti.
“Perniagaan pelincir mencapai keputusan yang luar biasa, dengan peningkatan sembilan peratus dalam jualan, disokong oleh prestasi mantap jenama kuasanya iaitu Syntium, Sprinta dan Urania," ujarnya.
PBD berkata, Setel menyaksikan trajektori pertumbuhan yang ketara pada tahun kewangan yang sama, dengan lonjakan ketara dalam nilai barangan kasar (GMV) daripada RM1.8 bilion kepada RM2.5 bilion.
Pada masa sama, syarikat itu memaklumkan bahawa pemilihan untuk menjadi salah satu penyedia perkhidmatan e-dompet untuk eBeliaRahmah dan eMadani telah mengembangkan lagi pangkalan penggunanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, prestasi pecah rekod syarikat itu menunjukkan kejayaan strategi mereka untuk meningkatkan tahap dengan memberikan pengalaman pelanggan yang unggul.
"Pengguna hari ini menuntut cara yang lebih mudah, lebih baik untuk melakukan sesuatu, dan kami bertindak balas dengan pelaburan yang besar dalam kedua-dua penyelesaian fizikal dan digital kami," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!