Lelaki bunuh kekasih terlepas hukuman gantung, ganti jel 30 tahun
PUTRAJAYA – Seorang penyelenggara stor yang membunuh teman wanitanya dengan menjerut leher menggunakan kain tudung terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa menggantikan hukuman itu kepada penjara 30 tahun.
Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat terhadap Shahrul Nizam Mohd Shah, 52, selaku pemohon.
Ketika membaca keputusan penghakiman, Tengku Maimun berkata, pemohon dikehendaki menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 8 Oktober 2008 lalu.
“Hukuman mati diketepikan diganti dengan hukuman penjara 30 tahun mulai tarikh tangkap,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Semasa hujahan, peguam, R Subash yang mewakili Shahrul Nizam, memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara 30 tahun yang mana dia telah ditahan selama 16 tahun yang kemudiannya tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi.
Mengikut pertuduhan, Shahrul Nizam dituduh membunuh teman wanitanya di rumah sewa, di Kampung Gombak, Kuang, Rawang, antara jam 9 dan 10 pagi, 7 Oktober 2008 lalu.
Pada 22 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Shahrul Nizam bersalah kerana membunuh teman wanitanya itu setelah mendapati mangsa akan berkahwin dengan lelaki lain.
Ketika membela diri, Shahrul Nizam memberitahu bahawa dia dan bekas kerani itu bercadang untuk membunuh diri dengan meminum racun umpama ‘Romeo dan Juliet’.
Dia juga mendakwa mangsa telah memaksanya meminum racun terlebih dahulu dan akibatnya, dia pengsan.
Lelaki itu berkata, setelah sedar, dia mendapati Nurul Hazira telah tidak bernyawa lalu dia berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.
Bagaimanapun, hasil laporan bedah siasat mendapati, Nurul Hazira meninggal dunia akibat cekikan dan tidak racun ditemukan dalam tubuhnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!