LHDN Melaka dedah dua ahli politik culas bayar cukai

Mohd Shahriz
Mohd Shahriz
A
A
A

MELAKA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka akan memburu pembayar cukai yang culas tidak terkecuali ahli politik di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Shahriz Ramli mendedahkan, terdapat dua ahli politik didapati gagal membayar cukai membabitkan jumlah puluhan ribu ringgit sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, kedua-dua individu berusia dalam lingkungan 40-an itu antara 10 individu yang disekat ke luar negara pada tahun ini kerana tidak menjelaskan bayaran cukai meskipun telah diberikan peringatan termasuk jadual ansuran pembayaran.

Katanya, mereka menganggap diri berjawatan dalam politik dan boleh terlepas dari sekatan untuk ke luar negara.

"Sedangkan sebelum itu kita telah memberi peringatan dan jadual ansuran untuk memudahkan individu terbabit membuat bayaran tersebut.

"Kerana ‘ego’ memegang status sebagai ahli politik mereka sambil lewa menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai," katanya.

Mohd Shahriz berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus LHDN Melaka bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di bangunan LHDN Melaka di MITC, Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.

Mohd Shahriz (tengah) bergambar bersama wakil Pendika dan pegawai LHDN Melaka selepas Sesi Libat Urus LHDN Melaka bersama Pendika di bangunan LHDN Melaka di MITC, Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.
Mohd Shahriz (tengah) bergambar bersama wakil Pendika dan pegawai LHDN Melaka selepas Sesi Libat Urus LHDN Melaka bersama Pendika di bangunan LHDN Melaka di MITC, Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mereka yang didapati culas melunaskan bayaran cukai akan dikenakan tindakan termasuk sekatan perjalanan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967/Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

"Sewajarnya wakil rakyat menjadi contoh kepada rakyat tetapi kalau lapisan atas ini sendiri tidak menunaikan tanggungjawab, bagaimana mahu dijadikan contoh.

"Sekali lagi kita ingatkan, LHDN Melaka akan lebih agresif memburu mana-mana golongan yang wajib membayar cukai," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain Mohd Shahriz berkata, LHDN negeri berjaya mengutip jumlah cukai sebanyak RM1.91 bilion berbanding sasaran RM1.92 bilion pada tahun lalu dan menyasarkan RM2.1 bilion pada tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!