JKNT siasat kes lima sekeluarga dipercayai keracunan makanan
KUALA NERUS - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa video tular di media sosial sejak Isnin yang menunjukkan sebuah sekeluarga dimasukkan ke hospital dipercayai akibat keracunan makanan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, perkara tersebut dalam pengetahuan dan siasatan pihaknya.
Katanya, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan berhubung kejadian tersebut.
"Kita menerima maklumat berhubung video tular dan perkara ini masih dalam siasatan kami.
"Berdasarkan siasatan awal terdapat lima orang terlibat dalam kes ini di mana empat daripadanya telah dimasukkan ke wad.
"Bagaimanapun, semua yang terlibat dalam keadaan stabil," katanya ketika sidang akhbar selepas operasi cakna penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam peringkat negeri Terengganu di bilik mesyuarat utama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, tular di media sosial Facebook dan Tik Tok video yang dikongsikan oleh pemilik nama Putera Hakiem.
Video tersebut menceritakan keadaan ahli keluarganya yang dikatakan mengalami gejala keracunan makanan dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Sehingga Selasa, video pertama dikongsikan berdurasi 26 saat itu mendapat 729,000 tontonan dan 535 perkongsian.
Menurut hantaran sama, lelaki itu menceritakan anak dan isterinya yang mengalami perubahan mendadak selang tidak berapa lama selepas makan kuih yang dibeli di pasar.
"Tadi anak 'warded', sekarang isteri pula. Saya dengan anak sulung jer tak makan. Anak nombor dua dah berlalak mata, muntah, mulut berbuih macam terminum racun.
"Selang lima minit si adik bongsu pula kena. Muntah dengan 'pattern' yang sama. Berbuih. Kebetulan masa tu saya balik sekejap ke rumah selepas ambil anak sulung balik sekolah.
"Balik jer tengok diorang dah hampir tak sedar dalam tandas. Memang cepat sangat benda ni terjadi dengan cirit-birit semua," tulisnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!