'Tak salah Sanusi berangan wujudkan LRT di Langkawi' - Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Tidak salah untuk kerajaan negeri dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berangan-angan mewujudkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) berteknologi maglev di Langkawi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sepatutnya keutamaan diberikan kepada menyiapkan projek mengikut keperluan rakyat berbanding pengangkutan tersebut.

Menurutnya, adalah tidak masuk akal mengutamakan projek yang bukan menjadi keutamaan masyarakat seperti perkhidmatan maglev, berbanding menyelesaikan masalah bekalan air dan pembinaan litar lumba yang sudah lama diuarkan.

“Fikirlah untuk selesailah masalah air terlebih dahulu, buatlah dulu bagi siap litar lumba dan Loji Rawatan Air (LRA), itu keperluan dan keutamaan untuk masyarakat.

“Tak salah nak berangan, tapi tumpu satu-persatu projek, selesai masalah-masalah yang dijanjikan selama ini yang menjadi keutamaan dalam kehidupan masyarakat,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat dari Korea, Royal Eco Train Development (RETD) di Wisma Darul Aman.

Kerjasama itu bagi membolehkan satu kajian menyeluruh dilakukan mengenai potensi perkhidmatan LRT menggunakan sistem teknologi levitasi magnet (maglev) dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dibangunkan di Pulau Langkawi.

Mahfuz sebaliknya menasihati Sanusi agar jangan hanya pandai mengumumkan projek baharu sedangkan projek mega sebelum ini juga gagal dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Orang dapat menilai, Sanusi hanya Menteri Besar yang umum macam-macam nak buat itu nak buat ini tetapi satu benda pun tak nampak sudah berjaya buat.

“Dahulu kata nak siapkan bina litar lumba, kemudian LRA siap dalam tahun 2023 tetapi tak siap juga. Kemudian katanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) akan berlaku penerbangan pertama tetapi tak tahu ke mana (perkembangan) projek itu,” ujarnya.

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu tegaskan, tiada keperluan mendesak untuk membina pengangkutan LRT maglev disebabkan pulau lagenda tidak berdepan masalah kesesakan mahupun sistem pengangkutan yang bermasalah.

“Langkawi tidak ada masalah pengangkutan, nak buat LRT buat apa? Tidak ada keperluan mendesak untuk bina rangkaian LRT di Langkawi.

“Bandar Alor Setar jika dibandingkan dengan Langkawi lebih memerlukan sistem pengangkutan lebih baik namun Alor Setar pun tidak menjadi satu keperluan mendesak untuk bina sistem seperti LRT.

“Sepatutnya Sanusi tumpu kepada perkara lain yang lebih penting. Laluan LRT di Langkawi dari hujung sana ke hujung pulau hanya berapa jauh saja, eloklah beri peluang kepada pengusaha perkhidmatan van dan kereta sewa untuk cari pendapatan,” jelasnya.

Mahfuz secara sinis menyifatkan adalah lebih baik Sanusi meneruskan hobinya yang gemar menyanyi dan berkaraoke untuk menghiburkan pemimpin Pas, berbanding meneruskan angan-angan membina rangkaian pengangkutan LRT maglev.

“Saya tak setuju PU Syed menegur Sanusi supaya cukup-cukuplah menyanyi sebab itu satu bentuk hiburan kepada pemimpin Pas. Mungkin nak berzanji dia tak tahu, nak marhaban pun mungkin tak pandai.

“Jadi biarlah dia hiburkan pemimpin Pas dengan lagu-lagu nyanyiannya yang sangat merdu. Itu lebih baik daripada dia berangan nak buat LRT,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!