Malaysia perlu guna kepakaran bagi pacu industri halal - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Foto Bernama
Tengku Zafrul Foto Bernama
A
A
A

RIYADH - Malaysia perlu memanfaatkan kepakaran dan sumber secara kolektif bagi memacu pertumbuhan dan pembangunan mampan dalam industri halal, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu adalah langkah penting bagi negara kerana industri halal sedang menangani kerumitan dalam landskap global yang berubah dengan pantas.

"Selaras dengan objektif Forum Kepimpinan Ekonomi Halal 2024 (HELF 2024), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kekal komited untuk menyokong inisiatif yang menggalakkan kemudahan perdagangan, pembangunan industri dan akses pasaran bagi produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan halal.

"Kami berdedikasi untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan rakan-rakan kongsi kami di Arab Saudi dan pihak-pihak berkepentingan utama yang lain untuk memanfaatkan potensi besar ekonomi halal dan mewujudkan masa depan yang lebih inklusif, saksama dan sejahtera untuk semua," kata Tengku Zafrul dalam ucapannya yang dibacakan oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

HELF 2024 dianjurkan bersama oleh Halal Development Corporation, Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Syarikat Pembangunan Produk Halal Arab Saudi (HPDC), bersempena Forum Sektor Swasta IsDB yang berlangsung dari 28-30 April, 2024.

Selain itu, momentum global yang menyelubungi ekonomi halal menawarkan naratif yang menarik untuk Malaysia, memanfaatkan kedudukannya yang penting dalam pasaran halal global, katanya.

"Sebagai peneraju dalam kewangan Islam dan ekonomi Islam yang lebih meluas, Malaysia berada di barisan hadapan dalam industri halal yang sedang berkembang ini.

"Pertumbuhan sektor halal yang dipacu bukan sahaja dalam kalangan populasi Islam global tetapi juga oleh faktor-faktor seperti nilai tambah, kebersihan dan keaslian, telah meletakkan produk halal Malaysia pada kedudukan yang tinggi dan menjadikannya pilihan utama bagi pengguna-pengguna bukan Islam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ini ditambah dengan konsep ekonomi Madani yang merangkumi wawasan pembangunan negara, menekankan peningkatan perdagangan dan pemupukan industri halal yang inovatif dan berdaya saing, katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!