'Saya perlu dapatkan semula keyakinan diri' - Zii Jia
PEMAIN profesional negara, Lee Zii Jia mengakui perlu mendapatkan semula keyakinan diri menjelang saingan suku akhir Piala Thomas 2024, selepas tewas kepada nombor satu dunia Viktor Axelsen pada Selasa.
Pemain di ranking ke-10 dunia itu berkata, masih terdapat jurang antara beliau dan Axelsen yang menyaksikan jaguh dari Denmark itu menang 21-16, 24-22 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D, menyaksikan Malaysia tewas 2-3.
"Perlawanan hari ini banyak kena perbaiki lagi. Saya juga letak sasaran peribadi terlalu tinggi dan menjangkakan saya bermain lebih bagus hari ini.
"Semua tahu dua tiga tahun kebelakangan ini, saya mengalami prestasi yang turun naik dan bergelut mencari rentak diri. Saya tidak berpuas hati dan masih banyak boleh diperbaiki,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sementara itu, pemain beregu lelaki negara Aaron Chia mengakui keliru dengan panggilan kontroversi oleh hakim servis yang mendakwa beliau melakukan spin serve ketika mendahului 19-15 pada set kedua.
Bagaimanapun Aaron berkata, tumpuan mereka tidak terjejas dengan kontroversi berkenaan dan mengakui mendahului dengan kedudukan selesa membuatkan mereka lebih tenang untuk menyumbang mata pertama buat Malaysia dengan kemenangan 17-21, 21-17, 21-16.
Teknik spin serve atau servis putaran bulu tangkis dilarang sementara di semua kejohanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), iaitu teknik pemain memegang bulu tangkis dan menguisnya dengan jari hantu sebelum memukul dengan raket yang menambah putaran dan menyukarkan lawan membalas pukulan.
Nur Izzuddin Rumsani yang bergandingan dengan Goh Sze Feri untuk mata kedua skuad negara berharap mereka dapat meneruskan rentak kemenangan hari ini, pada saingan suku akhir nanti.
Pemain perseorangan di ranking ke-233 Justin Hoh yang mempamerkan aksi membanggakan apabila tidak memberikan jalan mudah kepada Rasmus Gemke sebelum tumbang 13-21, 21-19, 13-21 kepada pemain di ranking ke-26 itu mengakui mendapat pengajaran bermakna dalam aksi berintensiti tinggi.
Pemain berusaia 20 tahun itu turut mengakui pada set ketiga, beliau sukar menandingi kepantasan Gemke sekali gus akur tidak dapat menyumbang mata kemenangan buat pasukan negara.
Malaysia yang sudah mengesahkan tempat di suku akhir, memulakan kempen Piala Thomas 2024 dengan bergaya selepas meraih kemenangan 5-0 masing-masing menewaskan Hong Kong pada Sabtu dan Algeria pada Isnin.
Denmark pula bermula dengan rentak kemenangan mengatasi Algeria pada Sabtu dan Hong Kong pada Isnin, masing-masing kemenangan 5-0.
Piala Thomas 2024 berlangsung sehingga 5 Mei. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!