Zamir, Marosuraya atlet terbaik Kejohanan Olahraga Orang Pekak

Muhammad Zamir (kanan) dan Marosuraya (kiri) bersama Mohd Amiludin pada Kejohanan Olahraga Orang Pekak di Bukit Jalil pada Ahad. Foto MSDeaf
Muhammad Zamir (kanan) dan Marosuraya (kiri) bersama Mohd Amiludin pada Kejohanan Olahraga Orang Pekak di Bukit Jalil pada Ahad. Foto MSDeaf
A
A
A

KEJOHANAN Olahraga Orang Pekak Malaysia kali keempat pada 27 dan 28 April lalu menyaksikan dua atlet pelapis dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati.

Olahragawan dimenangi oleh Muhammad Zamir Azman dari kontinjen Wilayah Persekutuan, manakala anugerah Olahragawati pula dimenangi Marosuraya Muhammad dari Terengganu.

Kedua-dua atlet pelapis itu memperolehi pingat emas dalam acara 100 meter (m) dan 200m.

Muhammad Zamir yang berusia 18 tahun berjaya mencatatkan masa 12.9 saat (s) dalam acara 100m dan 24.42s bagi acara 200m.

Marosuraya yang berusia 16 tahun pula mencatatkan masa 14.93s untuk acara 100m dan 31.01s bagi acara 200m.

Anugerah kepada dua atlet cemerlang itu disampaikan oleh Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn.

Bagi Marosuraya, kejayaannya itu dapat memberi semangat buatnya terus berusaha memperbaiki rekod sedia ada serta bercita-cita untuk beraksi lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Saya akan terus berusaha dan berlatih untuk kejohanan yang lebih besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Zamir pula berkata, walaupun memenangi dua acara berkenaan, namun yakin masa yang dicatat akan dapat diperbaiki lagi.

“Saya akan terus berlatih dan berlatih,” katanya.

Dalam pada itu jurulatih olahraga Terengganu, Mohd. Amiludin Mohd. Amin berkata, Marosuraya dengan usia yang masih muda, mempunyai masa depan yang cerah.

“Atlet-atlet dalam kejohanan ini adalah barisan pelapis dan masih muda. Latihan berterusan akan dapat memastikan mereka mencapai kejayaan lebh besar,” katanya.

Sementara itu, Shin Ruenn berkata, MSDeaf akan mempertimbangkan beberapa atlet pekak untuk dibawa bersaing pada kejohanan antarabangsa pada tahun ini termasuk di Iran, Taiwan dan Jakarta, Indonesia.

“Malah, kejohanan yang lebih besar sedang menanti kita iaitu Deaflympic di Jepun pada 2025.

“Kita tidak mempunyai banyak masa, sebab itu para atlet pekak yang akan dipilih nanti perlu berlatih secara berterusan kerana saingan lebih hebat bakal menanti mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!