JAIS tidak benarkan masjid, surau jadi pentas kempen politik
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan kepada semua penjawat awam di bawah seliaan agensi itu tidak menggunakan premisnya untuk tujuan politik kepartian sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, peringatan itu diberikan kepada pegawai masjid dan surau, guru termasuklah penolong pendaftar perkahwinan.
Menurut beliau, semua penjawat awam seliaan JAIS perlu mengambil sikap profesional dan mematuhi ketetapan serta arahan telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Arahan itu bagi memastikan semua masjid dan surau di negeri ini tidak boleh dijadikan tempat berpolitik atau propaganda politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, tegas beliau, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ketetapan MAIS berhubung perkara itu masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sepenuhnya.
“Pegawai masjid, pentadbir surau dan ketua guru bertanggungjawab terhadap premis yang berada di bawah kawalannya dengan melaksanakan amanah ini dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi sebarang sentimen politik kepartian,” jelasnya.
Tambah beliau, sekiranya masih terdapat pihak ingkar, perkara itu perlu dirujuk kepada Seksyen 12 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, Garis Panduan Perlantikan, Penyambungan dan Penamatan Tauliah Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) (Pindaan) 2006 bagi diambil tindakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!