[VIDEO] Isu MB Perlis: Tidak jejas kempen, peluang PN rampas KKB

A
A
A

HULU SELANGOR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merakam keterangan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli tidak melunturkan semangat Perikatan Nasional (PN) untuk merampas Kuala Kubu Baharu (KKB) pada pilihan raya kecil (PRK), minggu depan.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malah menegaskan, isu tersebut tidak sesekali memberi kesan atau menjejaskan gerak kerja kempen gabungan itu untuk memenangkan calonnya, Khairul Azhari Saut.

"Kita tidak pernah lemah semangat, malah lebih tentukan untuk melawan kerajaan Madani yang korap di peringkat Persekutuan dan negeri.

Mohamed Azmin ketika program Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Baharu, malam Selasa.
Mohamed Azmin ketika program Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Baharu, malam Selasa.

"Ia tidak beri kesan (gerak kerja PN), kita terus berkempen dan memberi penjelasan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Baharu, malam Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Mohd Shukri dipanggil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya susulan dakwaan salah guna kuasa berhubung penahanan anaknya dalam kes dakwaan tuntutan palsu berjumlah RM600,000, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut melahirkan rasa kesal apabila proses siasatan suruhanjaya itu dijadikan 'modal' untuk menjejaskan calon PN dan mempengaruhi pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

"Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, tidak adil untuk menghukum mana-mana individu dengan hukuman yang berbaur fitnah seperti tajuk dalam banyak laporan media menyatakan Menteri Besar Perlis ditahan.

"Beliau (Mohd Shukri) hanya dipanggil untuk beri keterangan dan dia mengambil tanggungjawab untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan bagi memberikan keterangan," ujarnya.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu, sikap yang ditunjukkan Menteri Besar PN tidak berlaku dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

"Kita lihat sikap Menteri Besar PN apabila anaknya dipanggil untuk memberi keterangan, beliau menyebut secara terbuka rasmi, telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa untuk mendidik anak dan warganya.

“Sekiranya didapati anaknya melakukan apa-apa kesalahan, hukumlah yang disiasat itu,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!