Tidak boikot, ramai pemimpin Pas akan hadir ceramah - Azmin

Antara barisan pemimpin yang hadir (dari kiri) Mohamed Azmin, Khairul Azhari, Muhyiddin, Noh, Faizal dan Rina.
Antara barisan pemimpin yang hadir (dari kiri) Mohamed Azmin, Khairul Azhari, Muhyiddin, Noh, Faizal dan Rina.
A
A
A

HULU SELANGOR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan pemimpin Pas memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu susulan ketidakhadiran Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada program ceramah umum, malam Selasa.

Beliau menegaskan, Pas sentiasa bersama jentera PN sehingga hari terakhir kempen selain ramai pimpinan parti itu yang bakal turut serta dalam ceramah akan datang.

"Malam esok (Rabu) ada Menteri Besar Kedah, (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan dua hari kemudiannya ada Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Memang kita ada perancangan (melibatkan pemimpin Pas) sehingga 10 Mei akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum di Kuala Kubu Baharu, malam Selasa.

Poster ceramah umum yang diedarkan kepada pihak media pada Selasa.
Poster ceramah umum yang diedarkan kepada pihak media pada Selasa.

Terdahulu berdasarkan poster yang dikongsikan kepada pihak media, antara barisan pemimpin yang dijadualkan terlibat selain Takiyuddin ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun; bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut.

Sebelum ini, isu melibatkan ketidakhadiran pemimpin Pas mengiringi calon PN pada hari penamaan calon Sabtu lalu didakwa kerana tindakan boikot parti itu.

Namun beberapa pemimpin Pas tampil menjelaskan bahawa pada 27 April lalu berlangsungnya Majlis Rumah Terbuka Pas Nasional di Perlis yang sudah dirancang sebelum Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, Mohamed Azmin menegaskan, tidak timbul isu boikot susulan jentera Pas sudah berada di lapangan sejak hari pertama kempen berlangsung.

“Selepas rumah terbuka, kebanyakan pemimpin Pas kembali ke bandar dan sekarang sedang membantu PN.

“Komitmen kita masuk pilihan raya sebagai PN, jentera PN, nak menang sebagai PN,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!