'Penyu belimbing sudah hilang, usah biarkan penyu agar juga pupus'

Mohd Uzair (dua dari kanan) mengangkat bangkai penyu agar jantan yang dijumpai terdampar di Pantai Maras, Kuala Nerus, pada Selasa.
Mohd Uzair (dua dari kanan) mengangkat bangkai penyu agar jantan yang dijumpai terdampar di Pantai Maras, Kuala Nerus, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Usaha pemuliharaan penyu termasuk rekod kematian reptilia itu perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak selepas negara kehilangan khazanah berharga iaitu spesies penyu belimbing yang kali terakhir direkodkan mendarat pada 2017.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, laporan awal mengenai penemuan setiap penyu atau spesies hidupan terancam penting kerana ia dapat membantu menyelamatkan haiwan tersebut.

Menurutnya, tahap kesedaran orang awam di negara ini mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terjumpa penyu atau sebarang spesies haiwan terancam sama ada masih hidup atau telah mati masih belum memuaskan.

Jelas beliau, hasil pemerhatian mendapati orang awam masih belum mengetahui jabatan atau agensi mana yang bertanggungjawab dalam menguruskan penemuan tersebut.

"Laporan yang pantas mampu menyelamatkan penyu yang masih hidup sekiranya kecederaan yang dialami tidak terlalu parah.

"Penemuan yang tidak dilaporkan ini berisiko menjejaskan rekod serta data yang berkait rapat dengan kajian susulan yang dijalankan terhadap hidupan itu.

"Oleh itu, jabatan dan agensi berkaitan perlu memperhebatkan lagi program kesedaran agar orang ramai tahu apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya menjumpai penyu atau spesies terancam yang lain di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Selasa lalu, bangkai seekor penyu dijumpai terdampar di Pantai Maras, Kuala Nerus.

Artikel Berkaitan:

Penyu agar jantan yang ditemukan mati merupakan penyu yang akan kembali ke perairan cetek di Terengganu ketika musim bertelur.
Penyu agar jantan yang ditemukan mati merupakan penyu yang akan kembali ke perairan cetek di Terengganu ketika musim bertelur.

Penemuan itu dilaporkan oleh orang awam kepada pihak polis yang kemudiannya menghubungi UMT untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Uzair, penyu jantan yang ditemui mati itu merupakan penyu spesies agar yang hanya akan kembali ke perairan cetek di sekitar kepulauan Terengganu ketika musim bertelur khususnya pada bulan Mac hingga Jun.

Katanya, penemuan penyu yang mati itu memberi petanda kualiti laut yang memberi sumber protein utama semakin terjejas.

"Musim penyu bertelur tidak sepatutnya menjadi musim penyu mati terdampar. Ia kembali untuk meneruskan kelangsungan populasi, bukan untuk dikhianati.

"Seratus peratus kehidupan penyu jantan adalah di dalam air namun usaha menyelamatkan penyu kita banyak tertumpu di daratan.

"Kita sudah hilang penyu belimbing, jangan nanti hilang penyu agar pula. Usaha menyelamatkan penyu adalah tanggung jawab semua," ujarnya.

Penemuan bangkai penyu agar jantan di Pantai Maras, Kuala Nerus dilaporkan oleh orang awam.
Penemuan bangkai penyu agar jantan di Pantai Maras, Kuala Nerus dilaporkan oleh orang awam.

Berdasarkan rekod, terdapat tiga spesies penyu yang masih terdapat di Terengganu iaitu spesies agar, karah dan lipas.

Sementara itu, ditanya mengenai trend penemuan bangkai penyu di Terengganu pada tahun ini, Mohd Uzair berkata, jumlahnya lebih rendah berbanding data yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Banyak faktor menyebabkan kematian penyu, kebanyakan yang direkodkan disebabkan kecuaian manusia seperti terperangkap di dalam pukat.

"Ada juga yang melakukan perbuatan khianat dengan memukul penyu untuk mengambil telurnya," jelas beliau.

Mana-mana individu yang menjumpai penyu atau haiwan spesies terancam disarankan segera hubungi Jabatan Perikanan melalui talian Hotline Fishcom yang dibuka 24 jam iaitu 03-88885019 atau 03-88704058.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!