Kenaikan gaji penjawat awam akan diperincikan semasa pembentangan Belanjawan 2025
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perincian mengenai kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka pada Oktober depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kenaikan gaji melebihi 13 peratus itu membuktikan komitmen kerajaan kepada penjawat awam.
"Pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada hari ini amat-amat positif. Saya percaya inilah yang diperjuangkan golongan pekerja dan kita seharusnya menyambut baik usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di sini pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Rabu mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini, antara kenaikan tertinggi diumumkan.
Kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, kenaikan itu hanya boleh berlaku susulan pengurusan dan tatakelola yang lebih baik diamalkan Kerajaan Perpaduan, terutamanya dalam usaha melawan rasuah.
"Jadi Perdana Menteri telah menjemput semua 16.5 juta pekerja di Malaysia untuk bersama dalam perjuangan membanteras rasuah kerana duit yang dapat diselamatkan itu seharusnya dipulangkan kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyifatkan pengumuman itu sebagai tepat pada masanya, yakin kenaikan gaji akan menaikkan lagi semangat penjawat awam untuk terus bekerja dengan cemerlang.
Beliau berkata, pendirian kerajaan Sarawak dan Sabah yang bersetuju menyelaraskan Ordinan Buruh Sabah, Sarawak dengan Akta Pekerjaan 1955 yang turut diumumkan Perdana Menteri juga bakal membolehkan pekerja tempatan di negeri berkenaan menikmati hak dan manfaat yang sama seperti di Semenanjung.
Perdana Menteri hari ini memaklumkan kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap.67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.
Anwar berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pembelaan dan kebajikan rakyat tidak pernah terhalang meskipun kerajaan menghadapi kekangan kewangan.
"Ditambah dengan usaha yang dibuat oleh kerajaan dalam menarik pelabur asing, kita harap pendapatan negara akan bertambah dan sebarang pendapatan kepada negara dapat dikembalikan kepada rakyat baik dari segi faedah atau kebajikan," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!