Makan durian sambil beramal
SUBANG JAYA - Selepas hampir empat tahun tidak dilaksanakan, acara tahunan Jom Durian - Nikmati Durian Untuk Program Amal kini kembali.
Presiden Persatuan Impian Kanak-kanak (CWS) Malaysia, Teoh Teik Hoong berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun sebelum ini.
Menurutnya, dengan bayaran tiket RM50, peserta diberi peluang makan durian sepuas-puasnya dalam tempoh sejam.
“Jom Durian 13 akan dianjurkan bersama dan dihoskan di Sunway Pyramid pada 29 dan 30 Jun ini.
“Tempahan meja korporat juga dibuka pada harga RM10,000 atau RM5,000 untuk 10 orang setiap meja pada 29 Jun. Peserta juga dapat menikmati durian musang king,” katanya.
Teik Hoong berkata, Jom Durian dianjur dalam usaha mengumpul dana amal yang amat diperlukan CWS Malaysia untuk terus memenuhi hasrat kanak-kanak sakit tenat di seluruh negara.
“Kali terakhir Jom Durian dianjur adalah pada 2019. Disebabkan wabak Covid-19, kami terpaksa menangguhkan penganjuran acara itu sejak beberapa tahun lalu.
“Bagaimanapun tugas kami untuk memenuhi hasrat pesakit kronik ini tetap diteruskan sepanjang pandemik dan gembira kerana dapat melakukannya walaupun dalam situasi mencabar,” katanya.
Terdahulu, Teik Hoong berkata, pihaknya bekerjasama dengan doktor dan jururawat di hospital kerajaan di seluruh negara bagi membantu mengenal pasti hasrat terakhir kanak-kanak yang ingin dipenuhi.
“Hasrat atau permintaan terakhir itu mungkin gajet, alat permainan, pergi ke suatu tempat atau bertemu personaliti kegemaran mereka.
“Kita anjur Jom Durian bagi membolehkan orang ramai menikmati raja buah itu sambil mengetahui sumbangan mereka akan membantu memberikan senyuman kepada kanak-kanak yang sakit,” katanya.
Katanya lagi, bagi sebarang pertanyaan dan tempahan sesi Jom Durian boleh dibuat dengan menghubungi talian 012205 5861 atau 012328 8557.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!