Beri perkhidmatan terbaik, tingkat kemahiran diri - Cuepacs

Para pekerja membaca lafaz Ikrar Hari Pekerja pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
Para pekerja membaca lafaz Ikrar Hari Pekerja pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Warga penjawat awam perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan sektor ekonomi negara serta meningkatkan diri dengan kemahiran yang diperlukan susulan pengumuman kerajaan berhubung kenaikan skim gaji penjawat awam melebihi 13 peratus pada Rabu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, komitmen tinggi penjawat awam dari aspek perkhidmatan itu sudah tentu memberikan kesan positif terhadap perkembangan ekonomi negara.

“Penjawat awam sebagai pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta tanggungjawab.

“Tingkatkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dengan keperluan semasa rakyat dan sektor ekonomi

“Cuepacs juga berharap masyarakat turut bersama dan memberi sokongan kepada perkhidmatan awam dalam memacu pembangunan negara ke arah yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, kadar itu tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Dalam pada itu, ujar Adnan, ketegasan Anwar dalam memastikan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamadkan dengan segera begitu dihargai oleh seluruh warga perkhidmatan awam setelah bertahun-tahun tidak dilakukan dengan serius.

Artikel Berkaitan:

“Usaha dan komitmen tersebut merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang bekerja meletakkan negara pada landasan yang kukuh

“Cuepacs dan seluruh warga perkhidmatan awam mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri atas perhatian serta komitmen kerajaan dalam membuat penstrukturan semula gaji penjawat awam,” ujarnya.

Sementara itu, menurutnya, peningkatan melebihi 13 peratus itu sudah tentu memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam di semua peringkat berikutan ia akan meningkatkan gaji bersih boleh guna mereka.

“Alhamdulillah, kerajaan telah menerima setiap pandangan yang diberikan oleh Cuepacs dalam tempoh kajian SSPA dilakukan sebelum ini. Hasilnya hari ini Perdana Menteri memberi bayangan bahawa gaji permulaan termasuk elaun tetap penjawat awam akan ditetapkan lebih RM2,000 sebulan berbanding RM1,700 ketika ini.

“Tiada sebarang sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti telah dicurahkan kepada rakyat dan negara.

“Setelah sekian lama tiada sebarang tindakan drastik diambil oleh kerajaan untuk memperbaiki struktur gaji penjawat awam, akhirnya Perdana Menteri mengambil langkah berani dalam mempercepatkan pelaksanaan SSPA yang baharu,” menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!