Peugeot 408 pertama dilancarkan di Malaysia dengan pemasangan tempatan
SHAH ALAM - Peugeot 408 yang pertama dilancarkan oleh Stellantis Malaysia dengan pemasangan tempatan tampil bersama rekaan terkini dan padat dengan kejuruteraan serta teknologi baharu.
Ketua Pegawai Operasi, ASEAN dan Pengedar Am Stellantis, Daniel Gonzalez berkata, ia merupakan sebuah model yang unik dan tidak dapat dijangka dari setiap sudut.
Menurutnya, ciri-ciri kenderaan tersebut progresif yang menawan hati pengguna dan mendapat pelbagai anugerah di seluruh dunia.
“Di rantau ASEAN, model 408 ini serba baharu membentuk 30 peratus daripada kereta Peugeot yang dijual di Vietnam dan Taiwan, membuktikan daya tarikannya.
“Kami teruja untuk membawakan ikon terkini yang dipasang di kilang Stellantis Gurun, Kedah kepada pelanggan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, Peugeot 408 itu menyerlahkan perubahan radikal model terdahulu yang membolehkannya memenangi anugerah reka bentuk Red Dot 2023 yang berprestij.
Penggayaan luarnya direka berdasarkan manifesto rekaan baharu adalah The Language of Attraction yang menunjukkan kelahiran semula jenama itu dengan menggabungkan tiga nilai utama iaitu memikat, emosi dan kecemerlangan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, kenderaan tersebut melambangkan kebanggaan pihaknya dan menjadi model Peugeot pertama yang dilancarkan.
Ujarnya, sebagai sebuah kereta yang benar-benar lain daripada lain, Peugeot 408 itu sememangnya unik buat pelanggan yang mahukan sebuah kenderaan berbeza daripada yang ada di pasaran segmen C arus perdana.
“Hadir dalam tiga varian, penambahan baharu ke dalam saluran pengeluaran tempatan ini jelas membuktikan komitmen kami untuk memperluaskan kehadiran kami di pasaran Malaysia.
“Pada masa sama, PEUGEOT 408 serba baharu menandakan satu era baru dalam usaha menjadikannya kembali sebagai jenama pilihan yang menawarkan gabungan rekaan avantgarde serta teknologi terbaik di negara ini,” jelasnya.
Model baharu itu menawarkan rekaan luaran yang menawan iaitu Allure yang didefinisikan sebagai keterujaan dan penuh tarikan merupakan nilai utama dan mewakili segala yang dilakukan oleh jenama berkenaan.
Siluet fastback yang dinamik bukan sekadar estetik, malah menyerlahkan garis badan dengan elemen singa disalurkan menerusi pelbagai elemen gayaan yang menawan bagi menunjukkan hala tuju rekaan masa depan kenderaan.
Peugeot 408 mengetengahkan emblem jenama terkini yang diletakkan di tengah-tengah nyata supaya kelihatan harmoni bersama gril jeriji vertikal yang diwarnakan dengan warna badan.
Suluhan cahaya itu dihasilkan oleh Peugeot Signature Light serba baharu untuk kluster lampu utama LED tersendiri yang turut merangkumi sepasang jalur lampu nyalaan siang berbentuk taring singa.
Selain itu, Varian GT dilengkapi lampu utama dengan teknologi Matrix LED yang menampilkan fungsi lampu tinggi automatik untuk suluhan cahaya optimum dalam suasana gelap.
Beralih daripada profail sisi dinamik kepada garis bumbung yang condong, engsel berlekuk pada Peugeot 408 serba baharu itu digabungkan dengan rekaan telinga kucing (Cat Ears) untuk menghasilkan koridor aerodinamik yang optimum pada lid spoiler.
Ia turut menampilkan rekaan tiga cakaran 3D yang tersendiri, lampu LED belakang diserlahkan lagi dengan lekuk pada bampar belakang dengan disertakan ciri-ciri inovatif lain mampu membuatkan orang berpaling untuk melihatnya yang memberikan impresi berpanjangan.
Peugeot 408 itu juga dibina berasaskan kepada EMP2 (Efficient Modular Platform) multi-tenaga dan memiliki dimensi 4,687mm panjang, 1,859mm lebar dan tinggi 1,487mm.
Pengalaman pemanduan Peugeot 408 yang mengujakan tersebut datang daripada enjin PureTech turbo 1.6 liter baharu yang canggih.
Enjin berkenaan mampu menjana kuasa sehingga 218hp (160kW) pada 5,750rpm dan tork 300Nm pada 2,000rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik EAT8 8-kelajuan pintar.
Peugeot 408 serba baharu mampu memecut dari titik pegun ke 100km/j dalam masa hanya 8.8 saat dengan memberikan peluang kepada pemandu untuk menikmati prestasi yang luar biasa.
Dengan prestasi mendahului kelasnya yang digabungkan bersama profail sebuah fastback yang dinamik, Peugeot 408 serba baharu bukanlah sebuah sedan atau SUV, sebaliknya berada dalam segmen tersendiri.
Peugeot 408 serba baharu hadir dalam empat pilihan warna menarik – hitam (Perla Nera Black), putih (Okenite White), kelabu (Artense Grey) dan biru (Obsession Blue) bersama tiga kemasan atau varian berbeza iaitu Allure, Premium dan GT.
Model baharu ini ditawarkan pada harga RM 146,055 untuk varian Allure, RM 166,055 bagi Premium dan RM196,055 untuk model flagship GT. Harga itu termasuk jaminan selama 7 tahun atau perbatuan sejauh 200,000km, mana-mana tiba dahulu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!