Perkembangan di Gaza amat mengecewakan - Anwar
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa kecewa berhubung genosid yang berlaku di Gaza.
Beliau berkata, maklumat yang diterima sepanjang melakukan lawatan kerja di Riyadh amat tidak meyakinkan malah menggusarkan.
“Sepanjang malam (saya berfikir) dan hari ini berasa amat terkesan kerana dunia seolah-olah menghampakan.
“Ini kerana, dunia membicarakan mengenai demokrasi, kemanusiaan dan menjadi manusia dengan tamadun yang tinggi, namun maruah serta nilai masih lagi hambar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Seri Dr Adnan Mat dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu bahawa beliau sama sekali tidak mempunyai niat mahu memanaskan dan mempersulitkan hubungan dua hala, sebaliknya menyatakan sikap sebagai manusia mengenai hipokrasi.
Menurutnya, beliau juga sedaya upaya mahu berdepan dengan pemimpin dunia iaitu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk membicarakan hal berkenaan.
“Saya beritahu mereka bahawa kita di Malaysia ini merupakan negara pelbagai kaum, agama dan kerajaan Madani pertahankan bersungguh-sungguh.
“Walaupun majoriti (rakyat Malaysia) Melayu-bumiputera, Islam sebagai agama Persekutuan tetapi setiap denyut, kesan yang dihadapi rakyat kita sama ada (beragama) Kristian, Hindu atau Buddha itu menyentuh perasaan kita sebagai manusia.
“Ini yang saya faham sebagai seorang manusia,” ujarnya.
Tambah beliau, amat malang kerana negara Barat tidak mempunyai pandangan sama sebaliknya mereka tidak mengendahkan dengan perkara yang terjadi di Palestin.
“(Mereka) tidak mendengar jeritan anak kecil, tidak melihat (jeritan) wanita dan membiarkan bulan demi bulan, hari demi hari dan detik demi detik (membiarkan keganasan terus berlaku).
“Saya zahirkan hal ini kerana apa yang saya dengar semalam di Riyadh, itu menyebabkan saya kusut dan lesu,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!