Kenaikan gaji penjawat awam: Rangsangan kepada sektor swasta ambil langkah sama

Dari kiri: G MANIMARAN, BARJOYAI
Dari kiri: G MANIMARAN, BARJOYAI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenaikan gaji lebih 13 peratus kepada penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilihat sebagai satu rangsangan kepada sektor swasta untuk turut menaikkan gaji pekerja mereka.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pengumuman Perdana Menteri itu juga bertepatan dengan langkah kerajaan memperkenalkan dasar gaji progresif yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.

"Kita sedang menuju (ke arah pelaksanaan) gaji progresif iaitu gaji progresif ini adalah kenaikkan gaji mandatori. Kenaikkan gaji mandatori pada masa ini adalah kira-kira lima peratus dan tidak semua majikan melakukan perkara itu.

"Jadi dengan pengumuman ini, ia secara tidak langsung akan memberi tekanan kepada sektor swasta untuk turut melakukan perkara tersebut. Sebab sekiranya mereka tidak melakukan perkara sama, kemungkinan untuk kehilangan pekerja mahir mereka itu juga tinggi," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Barjoyai berpendapat meskipun kenaikkan gaji penjawat awam itu akan menaikkan jumlah belanjawan negara namun langkah kerajaan itu akan mampu memberi pulangan yang berbaloi kepada kerajaan dan negara.

"Pada masa ini, kerajaan telah belanja lebih RM90 bilion untuk membayar gaji penjawat awam dan pengumuman ini akan meningkatkan jumlah itu kepada lebih RM120 bilion. Bagaimanapun saya berpandangan asalkan ia disokong dengan produktiviti penjawat awam, bagi saya ia berbaloi.

"Jadi kerajaan perlu segera memperkenalkan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) di sektor kerajaan yang kritikal bagi meningkatkan prestasi keseluruhan sektor awam di Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penganalisis politik, Dr G Manimaran berpendapat inisiatif kerajaan itu merupakan satu pendekatan yang baik dalam menganjakkan tangga gaji penjawat awam di negara ini berdasarkan keperluan kos sara hidup pada ketika ini.

"Saya melihat ia juga penting untuk memastikan bahawa semua penjawat awam diberi pengiktirafan dari segi upah sebenar, saya berharap akan ada banyak penambahbaikan yang lebih konstruktif diperkenalkan pada masa akan datang, sesuai dengan sumbangan yang diberikan oleh penjawat awam dalam pembangunan negara.

"Saya juga berharap selain kenaikan gaji, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dan pembaharuan beberapa elaun sedia ada seperti elaun perumahan, elaun kos sara hidup dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Manimaran juga berpendapat elaun khusus perlu diberikan kepada para penjawat awam yang bertugas di bandar-bandar utama seperti di ibu negara, Selangor, Johor Bahru dan Pulau Pinang bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Ini kerana kos sara hidup di bandar-bandar utama lebih tinggi berbanding di kawasan-kawasan luar bandar,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!