'PN akan main isu lama untuk menang PRK Kuala Kubu Baharu' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid mengangkat tangan kepada orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Negeri Sembilan
Ahmad Zahid mengangkat tangan kepada orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Negeri Sembilan
A
A
A

JELEBU - UMNO yakin yang Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan isu lama untuk menghentam parti itu termasuk memainkan naratif UMDAP (UMNO dan DAP) bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu turut dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri lalu.

"Ini bukan pertama kali mereka (PN) lakukan taktik untuk apa yang dipanggil sebagai UMDAP kerana pada PRN enam negeri lalu pun perkara sama telah dimainkan.

"Jadi PRK di Kuala Kubu Baharu ini, saya pasti banyak isu lama yang diputar semula kerana mereka telah ketandusan modal dan mereka gunakan modal lama untuk menghentam UMNO," katanya mengulas sebuah gambar di media sosial memperlihatkan penyokong PN mengangkat sebuah replika yang mencantum logo UMNO-DAP ketika penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 UMNO Negeri Sembilan di Dataran Pejabat Parlimen Jelebu di sini pada Selasa.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan keyakinan yang pengundi UMNO akan terus bertambah meskipun pelbagai isu negatif terus ditimbulkan berkenaan hubungan UMNO dan DAP.

"Tiada perubahan dalam kalangan pengundi UMNO, malah kita yakin pengundi UMNO akan bertambah kerana beberapa siri penjelasan melalui jelajah yang telah dilakukan.

"Maka, perkara-perkara yang menjadi agak kabur isunya pada satu ketika dulu, telah mula ada pencerahan. Insya-Allah kita yakin kepimpinan parti dari Selangor dan rakan-rakan dari negeri lain juga akan membantu untuk beri pencerahan yang lebih luas berkenaan isu dimainkan oleh pihak pembangkang, "katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu ditanya pemberita berkenaan pendirian MCA yang tidak mahu membantu gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, beliau berpendapat ia hanya sementara saja.

"Kita memahami perasaan mereka disebabkan oleh beberapa kenyataan yang dibuat. Saya fikir ini hanyalah sementara saja.

"Insya-ALLAH saya akan bersama-sama kepimpinan MCA akan santusi perasaan dan sentimen mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!