Penjawat awam diharap laksana pembaharuan digarap Kerajaan Madani - KSN
PUTRAJAYA - Anggota perkhidmatan awam diharap terus memberikan komitmen penuh bagi memastikan agenda pembaharuan digarap kerajaan MADANI dapat dilaksanakan demi kestabilan dan kesejahteraan negara.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ini seiring pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada sambutan Hari Pekerja di Putrajaya hari ini.
"Saya mewakili seluruh perkhidmatan awam menzahirkan syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI atas pengumuman kenaikan gaji penjawat awam," katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.
Sebelum itu, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember ini, antara yang tertinggi dalam sejarah negara membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Dalam hantaran berasingan sempena Hari Pekerja, Mohd Zuki berkata, pembinaan negara bangsa amat bergantung kepada produktiviti dan prestasi para pekerja yang merupakan jentera utama pembangunan negara.
"Pekerja yang berintegriti, produktif, kreatif dan inovatif serta memiliki jati diri yang teguh adalah aset penting yang akan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia seiring dengan matlamat Malaysia MADANI," katanya.
Beliau juga berharap semua pekerja untuk bersama-sama mendukung aspirasi itu demi mengangkat martabat negara ke persada dunia. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!