Melaka sasar sejuta pelancong China sempena TMM 2024

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Kapten Kapal Fu Ning, Abdul Ya Zaid Othman (dua dari kanan) pada Majlis Menyambut Ketibaan Kapal Layar Tradisional Cina Fu Ning Terbesar di Dunia ke Melaka di Pelabuhan Tanjung Bruas di sini hari ini. - Foto: Bernama
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Kapten Kapal Fu Ning, Abdul Ya Zaid Othman (dua dari kanan) pada Majlis Menyambut Ketibaan Kapal Layar Tradisional Cina Fu Ning Terbesar di Dunia ke Melaka di Pelabuhan Tanjung Bruas di sini hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Melaka menyasarkan kedatangan kira-kira satu juta pelancong dari China termasuk yang menginap di Melaka sekurang-kurangnya tiga malam, sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, pada tahun lepas jumlah pelancong China ke Melaka adalah sebanyak 204,818 orang daripada keseluruhan 8.63 juta pelancong.

"Sebelum ini, kebanyakan pelancong dari China hanya berkunjung ke Melaka dan tidak menginap namun sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat mereka sudah mula menginap di hotel-hotel yang terdapat di negeri ini.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan berlaku perubahan daripada aspek penerimaan pelancong China menjadikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan mereka," katanya kepada pemberita di Pelabuhan Tanjung Bruas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menyambut Ketibaan Kapal Layar Tradisional Cina 'Fu Ning' Terbesar di Dunia ke Melaka.

Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Zaidi berkata, sasaran satu juta pelancong dari China ke Melaka itu diyakini dapat dicapai menerusi pelbagai usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya kerjasama dengan anak syarikat kumpulan media berpengaruh di China, Golden Eagle Broadcasting System (GBS) iaitu Mango Media Sdn Bhd.

Kerjasama itu katanya bagi mempromosikan dan menarik kunjungan pelancong dari pelbagai wilayah republik itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, beliau berkata, persinggahan kapal 'Fu Ning' yang membawa sembilan krew dan 12 penumpang di Pelabuhan Tanjung Bruas selama tujuh hari bermula hari ini, membuktikan hubungan rapat kerajaan Malaysia khususnya Melaka dengan China sejak dahulu.

Katanya, ketibaan kapal layar berukuran 41.6 meter (m) panjang, 12m lebar dan mempunyai ketinggian tiang utama 29m itu secara tidak langsung membantu Melaka mempromosikan struktur perkapalan selain struktur bangunan bersejarah yang terdapat di negeri itu sempena TMM 2024.

"Persinggahan kapal berkenaan sangat signifikan kepada Melaka terutama sempena TMM 2024 dan secara tidak langsung hubungan diplomatik antara Melaka dan China dapat diperkasakan terutama bagi menarik kedatangan pelancongan selain sektor pelaburan dan teknologi," katanya.

Pembinaan kapal itu merupakan aspirasi pemilik kapal berkenaan Lin Chang Jiu, pengasas Fujian Hezhou Fuchuan Cultural Industry Development Co, sebagai penghormatan kepada pencapaian Laksamana Cheng Ho dan bagi menjejaki semula laluan nakhoda legenda itu di sepanjang Jalan Sutera Maritim.

Fu Ning, yang memulakan pelayaran dari Huangpu di Guangzhou, China, pada 31 Januari lepas, sebelum ini berlabuh di One15 Marina, Sentosa Cove, Singapura, sempena Festival Kapal Layar Singapura sebelum berlabuh di Melaka hari ini dan boleh membawa 42 orang pada satu-satu masa.

Hasil gabungan ketukangan tradisional dan teknologi moden, kapal yang diperbuat daripada kayu jati dan kayu ros itu mempunyai bank kuasa atas kapal berkapasiti 300 kilowatt jam.

Bank kuasa itu dibangunkan oleh pengeluar bateri China CATL yang mampu menyokong keperluan elektrik kapal selama satu bulan dengan sekali cas.

Kapal tersebut dibina oleh Fujian Hezhou Fuchuan Cultural Industry Development Co. yang diasaskan oleh Lin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!