Bekalan air bendang di Seberang Perai makin kurang
KEPALA BATAS - Masalah kekurangan bekalan air di kawasan bendang di daerah Seberang Perai Utara (SPU) ekoran musim kemarau mendapat perhatian Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin yang turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi pesawah.
Tze Tzin berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memandang serius masalah itu dan sedaya upaya berusaha mencari penyelesaian yang paling efektif bagi membantu pesawah yang terjejas.
"Saat ini merupakan keadaan yang serius dan genting buat petani yang terjejas pengeluaran hasil tanaman padi akibat kemarau yang melanda lebih awal sebulan. Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk membuat lawatan kecemasan bagi meninjau dan mencari penyelesaian lebih baik untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Rumah Pam Pinang Tunggal, di sini hari ini.
Difahamkan keseluruhan kawasan yang terjejas adalah seluas 1,164 hektar melibatkan 827 petani di kawasan SPU antaranya Paya Keladi, Pinang Tunggal dan Pantai Kamloon.
Tze Tzin berkata bekalan air buat masa ini masih mencukupi, namun pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (IADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) untuk mengeluarkan semua aset pam bergerak ke kawasan terjejas bagi mengatasi masalah tersebut dalam masa terdekat.
"Tindakan jangka pendek adalah dengan menambah bilangan 34 pam bergerak daripada semua jabatan seperti Jabatan Pertanian, IADA dan MARDI ke kawasan bendang yang terjejas. Malah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang turut bantu mengeluarkan lapan pam besar supaya dapat pam air masuk ke bendang," katanya.
Tze Tzin turut memberi jaminan bahawa petani yang menghadapi masalah kekurangan bekalan air di kawasan itu akan mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak kerajaan memandangkan projek pembangunan pertanian adalah lebih banyak tertumpu kepada produktiviti padi.
Beliau juga mengingatkan pesawah supaya menggunakan bekalan air secara berhemah bagi mengelak masalah air yang berterusan selain mengarahkan ketua pengurus air untuk memainkan peranan dalam menangani masalah itu secara efektif.
Sementara itu, seorang pesawah, Ahmad Shukri Saad, 47, berkata beliau berasa lega melihat jabatan dan agensi kerajaan yang kini bertungkus lumus untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi pesawah.
"Ada satu malam tu, pegawai mai (datang) pasang pam tambahan di rumah pam Pinang Tunggal malah komitmen yang diberikan banyak membantu pesawah untuk hadapi kemarau... sedikit sebanyak ada kelegaan di situ,” katanya yang berharap agar kemelut tersebut dapat diselesaikan dengan segera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!