Bilik spa, sauna di Suria KLCC terbakar
KUALA LUMPUR - Bilik spa dan sauna di Babel, Suria KLCC, di sini, terbakar pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Fatta M Amin berkata, kebakaran berlaku di tingkat satu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, BBP Pudu, BBP Keramat dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 malam.
"Anggaran keluasan kebakaran ialah 3x3 meter persegi dengan kemusnahan 100 peratus.
"Ketangkasan serta kepantasan pasukan bomba telah berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran daripada merebak ke unit lain," katanya.
Tambah Fatta, punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM Kuala Lumpur.
Sementara itu, Suria KLCC Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, sistem memadam kebakaran diaktifkan selepas insiden itu selain bantuan pihak bomba.
"Api berjaya dipadam dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, pihak pengurusan juga sedang berusaha menangani sebarang kebimbangan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pelanggan dan kakitangan.
Ujarnya, Babel ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak, namun pusat beli-belah yang lain masih beroperasi seperti biasa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!