RM2.56 bilion tingkat kemahiran rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) melancarkan dokumen Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Rabu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) melancarkan dokumen Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memperuntukkan sebanyak RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran untuk rakyat di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya sedar pampasan upah yang lebih baik berkait rapat dengan keberhasilan tinggi dan ia boleh dicapai menerusi kemahiran berkualiti.

Justeru menurutnya, KESUMA akan berusaha sepenuhnya untuk melaksanakan latihan kemahiran yang bernilai tinggi kepada rakyat menerusi peruntukan tersebut.

“Latihan kemahiran bernilai tinggi antaranya kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi 5G, pengekodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau (green skills), kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pensijilan mikro dan modular, latihan secara bersemuka, ‘on-the-job training’ di industri serta dalam talian juga disediakan.

"Kami (KESUMA) akan berusaha untuk memantapkan latihan kemahiran dan pastikan setiap rakyat Malaysia tak kira kaum, agama, jantina usia, kelulusan akademik atau wilayah. Semua mempunyai peluang untuk tingkatkan ‘upskilling, reskilling, cross-skilling’ (kemahiran baharu, kemahiran sedia ada serta kemahiran silang),” katanya.

Steven berkata demikian ketika berucap di majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Rabu.

Bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”, sambutan itu disusuli dengan pelancaran Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang di sempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama dalam sambutan itu ialah dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat; Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman serta wakil kontinjen jabatan serta agensi swasta.

Sambutan itu turut menyaksikan Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Hari Pekerja 2024 bagi 12 kategori.

Perlindungan pekerja

Dalam pada itu, Steven memaklumkan KESUMA ketika ini sedang sedang dalam proses memperkasakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja menerusi beberapa pelaksanaan pindaan serta pembaharuan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Tambah beliau, ketika ini, Akta 4 meliputi 10 juta pencarum, manakala Skim Insurans Pekerjaan kurang dari 7 juta orang.

Anwar disambut para hadirin semasa menghadiri serta menyempurnakan sambutan Hari Pekerja 2024 di PICC, Putrajaya pada Rabu.
Anwar disambut para hadirin semasa menghadiri serta menyempurnakan sambutan Hari Pekerja 2024 di PICC, Putrajaya pada Rabu.

Sementara itu, Anwar merangkap Menteri Kewangan ketika berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih dari 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Melibatkan peruntukan mencecah RM10 bilion, Perdana Menteri berkata, ketika ini jumlah pendapatan minimum meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada sebanyak RM1,795 sebulan.

"Di bawah SSPA yang sedang diperincikan, kerajaan bakal meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

“Kerajaan Sabah dan Sarawak telah bersetuju membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan bab 67) dan Sarawak (Ordinan bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia selepas rundingan dilakukan sejak sekian lama," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!