Banyak usaha Kerajaan Perpaduan untuk bantu masyarakat India - Fahmi
PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, banyak usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan untuk membantu masyarakat India, antaranya menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan menjaga kebajikan pelajar selain bantuan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga ada yang bersetuju mengambil 1,000 pekerja dari komuniti India melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang meminta pemimpin politik India menghentikan perbalahan dan memberi tumpuan selesaikan isu masyarakat ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
"Ketepikan titik bengik dan beza pandangan politik. Kerjasama untuk selesaikan masalah sebaik mungkin semua kaum dan agama, tapi sekiranya ada kumpulan tertinggal kita kena bekerja dengan keras," katanya ketika ditemui media selepas perasmian Pejabat Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
Fahmi berkata, keputusan perdana menteri melantik P. Prabakaran sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA adalah untuk memberi nafas baharu dalam menyelesaikan masalah masyarakat India sekali gus memastikan nasib komuniti itu terbela.
Prabakaran pula ketika ditemui media pada majlis sama berkata RM30 juta yang diperuntukkan bagi program khas TVET Inisiatif Kemahiran India Malaysia (Malaysian Indians Skills Initiative - MISI) membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan masyarakat India.
Sementara itu merujuk kepada pembukaan pejabat PH di sini Fahmi berkata, ia merupakan langkah PH untuk merampas kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya akan datang.
Oleh itu, beliau berkata PH harus melipatgandakan usaha bukan sahaja mendampingi masyarakat setempat tetapi memahami liku-liku kehidupan dan membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!