Terlibat kira undi dalam pilihan raya, bolehkah menjamakkan solat?

INDIVIDU yang terlibat dengan pengiraan undi ketika pilihan raya adakalanya menghadapi kesukaran untuk meninggalkan tempat kiraan undi. -Foto: Canva
INDIVIDU yang terlibat dengan pengiraan undi ketika pilihan raya adakalanya menghadapi kesukaran untuk meninggalkan tempat kiraan undi. -Foto: Canva
A
A
A

BAHANG mengundi kian terasa lebih-lebih lagi melibatkan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Selangor susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung pada 11 Mei nanti.

Bercakap tentang pilihan raya, sudah tentu kita tidak boleh lari daripada perihal petugas pada hari kejadian bagi melancarkan proses berkenaan.

Antara individu paling sibuk pada hari berkenaan sudah tentulah mereka yang terlibat dengan pengiraan undi.

Adakalanya pengiraan tamat sedikit lambat hingga ‘terbabas’ sampai melewati waktu Isyak kerana jumlah pengundi yang ramai di kawasan berkenaan, di samping masalah-masalah berbangkit lain.

Pendek kata, petugas yang terbabit dengan pengiraan undi sebenarnya terikat dengan masa dan tidak membolehkan mereka meninggalkan kiraan undi.

Bolehkah mereka yang terlibat dalam proses pengiraan undi melakukan jamak solat?

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, harus hukumnya bagi orang yang terlibat dalam pengiraan undi pilihan raya untuk menjamakkan solatnya atas alasan kesukaran untuk meninggalkan tempat mengira undi.

Artikel Berkaitan:

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Ia bersesuaian dengan kaedah fiqh yang muktabar iaitu ‘Kesukaran itu mendatangkan kemudahan pada hukum’, ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.

Bagaimanapun, agamawan itu mengingatkan, rukhsah berkenaan perlu diikat prinsip-prinsip tertentu.

Berikut perinciannya:

i. Rukhsah itu hanya terpakai kepada mereka yang terlibat dengan pengiraan undi dan tiada peluang langsung untuk meninggalkan tempat kiraan undi sepanjang waktu solat.

Andai kiraan undi itu selesai sebelum masuknya waktu berikutnya, iaitu sebelum Isyak, maka keringanan untuk menjamakkan solat tidak terpakai dalam situasi tersebut.

ii. Ancaman berlakunya penipuan dan syak wasangka.

Jika seseorang yang terlibat dalam pengiraan undi meninggalkan tempat mengira undi, maka tindakannya tersebut akan menyebabkan berlakunya kemungkinan penipuan dan penyelewengan dalam kiraan undi terbabit.

iii. Tiada pengganti.

Seandainya terdapat orang lain yang terlibat dengan pengiraan undi yang boleh menggantikannya, maka hendaklah digantikan tempatnya pada waktu solat itu dan dia tidak boleh menjamakkan solat.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menjelaskan keharusan berbuat demikian berdasarkan hujah-hujah dikemukakan.

Jelas beliau, isu pilihan raya melibatkan perkara besar iaitu pelantikan pemimpin yang akan menguruskan harta, hal ehwal negara dan rakyat.

HARUS hukumnya bagi orang yang terlibat dalam pengiraan undi pilihan raya untuk menjamakkan solatnya atas alasan kesukaran untuk meninggalkan tempat mengira undi.
HARUS hukumnya bagi orang yang terlibat dalam pengiraan undi pilihan raya untuk menjamakkan solatnya atas alasan kesukaran untuk meninggalkan tempat mengira undi.

Oleh itu, katanya, isu pemilihan pemimpin dalam hal itu merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan terutama ketika proses pengiraan undi yang berkemungkinan akan berlakunya isu penyelewengan dalam kiraan undi.

“Jika menjamakkan solat tidak dibolehkan, maka banyak perkara boleh terjadi sekiranya ketiadaan Ejen Mengira Undi disebabkan mereka pergi menunaikan solat.

“Maka ia boleh menyebabkan mafsadah atau kerosakan yang lebih besar seperti kemungkinan berlaku penipuan dan prasangka dalam ketelusan kiraan undi tersebut,” katanya.

Di samping itu, Zulkifli menjelaskan, perkara tersebut juga adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang mengharuskan jamak solat ketika hujan.

“Hujan adalah melibatkan masalah yang bersifat kecil, maka Rasulullah SAW membenarkan untuk melakukan solat jamak.

“Bahkan, Baginda SAW pernah menjamakkan solat tanpa ada kegawatan dan juga hujan kerana tidak ingin menyusahkan umatnya, sepertimana disebut dalam hadis diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi dan An-Nasa’i.

“Jelas Imam An-Nawawi, sebahagian para ulama menyatakan, hadis itu menunjukkan bahawa solat jamak tersebut dilakukan berkemungkinan disebabkan oleh keuzuran seperti sakit ataupun seumpamanya yang menunjukkan situasi kesukaran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!