Liga-M 2020 cipta lembaran baharu

Hamidin (barisan belakang, tengah) bergambar bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Exco FAM serta wakil persatuan dan kelab bola sepak pada Majlis Pelancaran Liga-M 2020 di Shah Alam hari ini.
Hamidin (barisan belakang, tengah) bergambar bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Exco FAM serta wakil persatuan dan kelab bola sepak pada Majlis Pelancaran Liga-M 2020 di Shah Alam hari ini.
A
A
A

PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yakin bahawa Liga Malaysia (Liga-M) berpotensi untuk terus berkembang menjadi antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Kami amat berharap Liga-M 2020 akan menjadi lembaran baharu kepada arena bola sepak tanah air. Kita dapat lihat kesungguhan semua pasukan dalam memburu kejuaraan kali ini apabila masing-masing giat mempersiapkan pasukan.

“Jadi kita mengharapkan saingan lebih berkualiti akan disajikan buat peminat tempatan, namun dalam masa yang sama, semangat kesukanan tinggi tetap diterapkan.

“MFL sebagai badan pentadbir liga pula akan sentiasa berusaha keras untuk mengembangkan potensi liga selaras dengan misi dan visi MFL yang mahu melakukan transformasi dalam bola sepak Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran Liga-M 2020 di sebuah hotel di Shah Alam semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ab Ghani turut berharap Liga-M 2020 yang bakal membuka tirainya 28 Februari depan akan terus mendapat sokongan daripada para peminat dan penyokong bola sepak tempatan.

“Alhamdulillah dengan pelancaran (Liga-M 2020) hari ini (semalam), menandakan persaingan musim baharu bakal bermula. Musim lalu menyaksikan kehadiran seramai 730,036 penonton bagi Liga Super dan 160,029 penonton bagi Liga Premier.

“Jumlah kehadiran penonton secara keseluruhan bagi Piala FA seramai 224,976 diikuti Piala Cabaran (20,944) dan Piala Malaysia sebanyak 467,377 penonton. Ia satu perkembangan yang baik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tirai Liga-M 2020 akan dibuka bagi aksi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Februari depan.

JDT yang merangkul kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut musim lalu pasti mahu melebarkan penguasaan, namun 11 lagi pasukan iaitu Selangor, Kedah, Terengganu FC, Felda United, Perak, Pahang, Melaka United, PJ City FC dan tiga pasukan baharu - Sabah, UiTM FC dan PDRM juga ingin melakukan kejutan.

Empat pasukan feeder club - JDT II, Perak II, Selangor II, Terengganu FC II pula bakal mewarnai kancah Liga Premier selain Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak United FC, Kuala Lumpur, UKM FC serta Kelantan United dan Kuching FA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!