160 petugas Tabung Haji berlepas ke Arab Saudi
SHAH ALAM - Kumpulan kedua petugas haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) melibatkan lebih 160 orang digerakkan ke Arab Saudi pada Khamis untuk membuat persiapan awal bagi operasi musim haji tahun 1445H/2024M.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, lebih 600 orang telah terpilih menjadi petugas Operasi Haji Tanah Suci (OHTS) tahun ini bagi memastikan semua sektor operasi berada dalam keadaan baik.
"Persiapan itu membabitkan pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan lain-lain pusat perkhidmatan.
"Keberangkatan petugas haji dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan. Hari ini merupakan pelepasan kumpulan kedua melibatkan petugas kebajikan, perubatan, media dan agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, seramai 14 petugas media menyertai penerbangan kedua ke Arab Saudi dan salah seorang daripadanya merupakan Penolong Pengarang Berita Digital Sinar Harian, Riswandi Razak.
Tambah Syed Saleh, penerbangan kumpulan pertama petugas mula berlepas adalah 30 April lalu dan akan diikuti dengan tiga kumpulan besar bermula 2 Mei, 6 Mei serta 9 Mei.
Jelasnya, semua petugas bertindak sebagai barisan hadapan itu telah mengikuti kursus komprehensif bagi memastikan mereka bersedia dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cekap untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara.
"Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula 9 Mei 2024 manakala penerbangan terakhir adalah 9 Jun 2024. Tahun ini hari Wukuf iaitu pada 9 Zulhijjah dijangka jatuh pada Sabtu (15 Jun 2024).
"Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
"Sebanyak lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah Haji seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!