Pelaburan tambahan Microsoft terbesar syarikat itu di Malaysia - PM
KUALA LUMPUR - Pelaburan tambahan oleh Microsoft berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) di negara ini dalam tempoh empat tahun akan datang adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh syarikat itu selepas bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti kecerdasan buatan (AI) dalam negara.
"Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan serta AI, pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.
"Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella dan delegasi di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum.
"Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan kerajaan untuk mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
"Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!