Perak sedia naik gaji penjawat awam
IPOH - Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbang kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun keputusan tersebut bergantung kepada implikasi kewangan yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri akan meneliti pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) susulan pengumuman perdana menteri itu.
"Kita belum menerima sepenuhnya pekeliling (mengenai kenaikan gaji penjawat awam). Biasanya mesyuarat exco kerajaan negeri akan buat keputusan setelah kita dapat pekeliling tersebut. Jadi kena sabarlah dulu.
"Lazimnya kita akan ikut tapi tengok kepada kemampuan kewangan dan juga mematuhi pekeliling. Pekeliling itu Bergantung kepada JPA, cepat kita dapat, cepat kita kaji," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Penyampaian Replika Cek Dana Kreatif Negeri Perak @ PORT di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Khamis.
Saarani berkata, kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu akan membabitkan implikasi kewangan yang besar kerana jumlah kakitangan kerajaan negeri di Perak hampir 9,000 orang.
Pada Rabu, media melaporkan Anwar mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.
Pengumuman itu dibuat ketika majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saarani menjelaskan kerajaan negeri Perak perlu mengkaji dengan teliti mengenai pindaan Akta Perhutanan Negara 2022 sebelum menerima pakai di dalam enakmen negeri.
"Perak, Pahang dan Johor, kita punya hutan besar berbanding Perlis, Pulau Pinang apa lagi mereka tiada hutan. Kita ada Royal Belum, jadi kita ada keperluan untuk melihat kajian lebih.
"Jadi kita memperhalusi pindaan Akta Perhutanan 2022 itu. Kita kena kaji terlebih dahulu," katanya.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada Selasa menggesa semua kerajaan negeri mencontohi Perlis dan Selangor yang telah menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di negeri masing-masing.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pindaan akta tersebut yang telah dua tahun dilaksanakan itu penting untuk dimasukkan di dalam enakmen sedia ada di negeri-negeri untuk memastikan semua menggunapakai piawaian sama berkaitan perhutanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!