56 atlet Selangor terima insentif Sukan SEA ke-30 Filipina
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan insentif Sukan SEA ke-30 Filipina berjumlah RM152,000 kepada 56 atlet negeri ini.
Baginda turut menyampaikan insentif berjumlah RM28,000 kepada 14 jurulatih yang membantu kejayaan atlet Selangor tersebut.
Pemenang pingat emas menerima RM5,000 bagi setiap pingat yang diraih, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,500), manakala jurulatih pula masing-masing menerima RM2,000.
Majlis penyampaian insentif berkenaan diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Turut mengiringi Raja Muda Selangor ke majlis itu Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman.
Dalam temasya Sukan SEA ke-30 Filipina yang berlangsung pada 30 Nov hingga 11 Dis tahun lepas, 26 atlet Selangor meraih emas, 11 atlet memenangi pingat perak manakala 15 menyumbang gangsa dalam 28 jenis sukan yang disertai mereka.
Penerima tertinggi insentif tersebut adalah ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang meraih tiga pingat emas, diikuti perenang elit wanita negara, Phee Jinq Eng apabila menyumbang dua pingat emas dan satu gangsa pada temasya Sukan SEA tersebut.
Seramai 56 atlet yang menerima insentif itu merupakan sebahagian daripada 143 atlet Selangor yang mewakili negara dalam acara dwitahunan berkenaan.
Untuk rekod, Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA di Filipina dengan meraih 56 pingat emas, 58 perak, dan 71 gangsa.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!