Penjawat awam kawal belanja, elak hutang baharu - Cuepacs
SHAH ALAM - Penjawat awam dinasihatkan mengawal perbelanjaan terutama dalam mencipta hutang baharu berikutan kenaikan gaji melebihi 13 peratus bermula pada 1 Disember ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat mengakui kenaikan gaji sudah tentunya akan meningkatkan pendapatan isi rumah dan kebolehan belanja di kalangan penjawat awam termasuk kelayakan pembelian rumah.
"Hutang juga akan menjadi lebih besar kerana kelayakan tersebut (pinjaman selepas gaji naik). Nasihat kami kepada penjawat awam adalah lihat kembali (corak perbelanjaan) sebelum gaji naik.
“Berbelanja dengan angka sebelum gaji naik dan jangan berbelanja dengan gaji akan naik iaitu 15 peratus akan datang," katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Pekerja Cuepacs Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Rabu.
Majlis Sambutan Hari Pekerja Cuepacs Tahun 2024 dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Dalam pada itu, Adnan turut menegaskan agar penjawat awam bijak dan berhemah dalam berbelanja sekali gus dapat memberikan kesenangan kepada mereka pada masa akan datang.
“Lihat ketika kita susah ketika ini. Bukan mengekalkan kesusahan tersebut tetapi beri kelegaan dan bukannya berbelanja dengan luar kemampuan dengan peningkatan kelayakan pinjaman perumahan dan sebagainya serta elakkan daripada membuat pinjaman peribadi," ujarnya.
Mengulas mengenai perdebatan pengumuman bentuk kenaikan peratusan gaji susulan tiada garis panduan yang jelas, beliau menegaskan perkara itu tidak wajar dibincangkan kerana gaji tersebut akan tetap naik.
“Secara mudahnya, pegang kepada ayat-ayat dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Hari Pekerja semalam iaitu kenaikan gaji melebihi 13 peratus dan ada bahasa digunakan 15 peratus.
“Tidak perlu bincang, kami dapat atau kau dapat berapa peratus. Yang penting angka peratusan diumumkan Perdana Menteri itu dan itu sahaja kita perlu ingat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!