Farah Ann anggap insentif Sukan SEA dorong semangat
RATU gimnas negara menyifatkan pemberian insentif Sukan SEA ke-30 Filipina oleh kerajaan Selangor kepada atlet negeri itu, sebagai dorongan untuk mereka mengukir lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Farah Ann Abdul Hadi berkata insentif berkenaan turut mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap pencapaian atlet negeri itu.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan mereka yang terlibat kerana sentiasa menyokong saya dan rakan atlet lain serta memberi kata-kata semangat kepada kami untuk terus menjadi yang terbaik dalam setiap sukan yang kami sertai.
“Ini juga sebagai galakan kepada kami untuk terus berusaha mencatat lebih kejayaan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menerima insentif berjumlah RM15,000 susulan kejayaannya meraih tiga emas dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.
Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan insentif Sukan SEA Filipina 2019 berjumlah RM152,000 kepada 56 atlet negeri ini dalam satu majlis di sini.
Dalam temasya sukan yang berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember tahun lepas di Filipina, seramai 26 atlet Selangor meraih emas, 11 atlet memenangi pingat perak manakala 15 menyumbang gangsa daripada 28 jenis sukan yang disertai mereka.
Pemenang pingat emas menerima insentif sebanyak RM5,000 bagi setiap pingat yang diraih, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,500), manakala jurulatih pula masing-masing menerima RM2,000.
Mengulas lanjut, Farah Ann berkata beliau kini sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Persiapan latihan sudah tentu tertumpu kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana ini adalah pertama kali saya layak ke Olimpik dan ia sangat mengujakan. Sasaran saya pada temasya sukan itu untuk buat sehabis baik,” katanya.
Farah Ann mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke sukan Olimpik itu, selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman baru-baru ini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!