Negeri Sembilan sedia naik gaji penjawat awam
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak menolak untuk menaikkan gaji penjawat awam negeri itu selaras dengan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengkaji secara keseluruhan berhubung kenaikan tersebut dan ia akan dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
"Ia melibatkan kakitangan awam, jadi kita perlu selaraskan dan dilaksanakan bersama kerana ini melibatkan soal gaji dan gred yang sama di peringkat Persekutuan dan Negeri.
"Kita memang menunggu apa juga keputusan kerajaan Persekutuan semalam (Rabu) dan apa berlaku bukan setakat 15 peratus saja, tapi akan libatkan banyak kenaikan, bukan setakat gaji awal saja," katanya ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Wisma Persekutuan di sini pada Khamis.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan yang kenaikan yang bakal dilaksanakan kelak akan memberi implikasi kepada kewangan kerajaan negeri.
Namun katanya, pihaknya akan memastikan sumber kewangan yang ada mencukupi untuk membayar gaji lebih 5,000 penjawat awam di negeri ini.
"Kita akan laksanakannya nanti mengikut kerajaan Persekutuan, begitu juga pakej kenaikannya. Ia tidak lebih dan tak kurang," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap apabila kenaikan itu dilaksanakan kelak, golongan penjawat awam akan lebih komited dan produktif dengan kerja mereka.
"Semalam pun diingatkan mana-mana yang tidak mengikut atau mencapai prestasi kerja, mereka akan diketepikan kenaikan ini. Ia dah jelas di situ.
"Di peringkat negeri, kita minta ketua jabatan untuk kenal pasti golongan ini. Walaupun tak ramai, tapi kita perlu bagi ingatan kepada mereka kerana mereka tak boleh menumpang saja untuk dapat kemudahan tanpa mereka beri sumbangan kepada negara," katanya.
Tambah beliau, kenaikan itu juga sekali gus dapat mengurangkan keluh kesah penjawat awam terutama di peringkat bawahan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!