Premis hiburan warga Myanmar kena serbu

Antara barangan disita MPS di premis hiburan berkenaan.
Antara barangan disita MPS di premis hiburan berkenaan.
A
A
A

KEPONG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerbu sebuah premis dijadikan pusat hiburan dan kedai makan yang menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga Myanmar di Desa Aman Puri di sini.

MPS dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya terpaksa memecahkan pintu premis tersebut selepas pekerja tidak memberi kerjasama ketika operasi dijalankan pada Selasa.

Menurutnya, pintu masuk premis turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya pelanggan yang dikenal pasti dibenarkan masuk.

"Premis tersebut menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga Myanmar yang mana ia hanya menjual makanan dan barangan runcit dari negara tersebut.

"Sebahagian premis pula diubah suai dan dijadikan pusat karaoke yang menyediakan lagu-lagu bahasa ibunda mereka dengan bayaran RM50 untuk satu jam selain menghidangkan minuman keras tanpa cukai," katanya menerusi kenyataan tersebut.

Katanya, tiga pekerja wanita warga Myanmar yang telah bekerja selama enam bulan memaklumkan premis tersebut dimiliki oleh rakyat tempatan.

Penguat kuasa MPS memecah pintu premis selepas pekerja enggan memberikan kerjasama sewaktu pemeriksaan dijalankan di Desa Aman Puri, Kepong. pada Selasa.
Penguat kuasa MPS memecah pintu premis selepas pekerja enggan memberikan kerjasama sewaktu pemeriksaan dijalankan di Desa Aman Puri, Kepong. pada Selasa.

"Atas pelbagai kesalahan ini, MPS telah menyita 51 botol minuman keras, dua unit televisyen, empat unit speaker dan enam unit amplifier ke atas premis ini.

Artikel Berkaitan:

"Empat kompaun turut dikeluarkan di bawah UUK 3, Undang Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007 serta UUK 3(1), Undang Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007 selain Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat Tempat Hiburan 1995, " katanya.

Dalam operasi sama, MPS turut menyerbu dua premis lain di lokasi berhampiran dikendalikan warga asing disyaki dijadikan pusat perjudian.

Jelasnya, premis tersebut dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu tanpa sebarang lesen perniagaan yang sah.

"Sebanyak 48 unit mesin elektronik yang disyaki digunakan untuk perjudian di premis tersebut telah disita bersama tujuh unit televisyen, dua unit komputer dan beberapa peralatan lain.

"Tindakan sitaan ini dibuat di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber(MPS)2007 atas kesalahan menjalankan operasi secara haram," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!