TH terima lebih 80,000 rayuan haji
Beliau berkata, rayuan haji yang dibuka pada 26 Januari lepas itu akan ditutup pada 8 Mei ini.
"Kita masih lagi melihat jika ada kekosongan (kuota) dan kita akan mengisi dengan permohonan rayuan yang ada. Dari segi kekosongan ia agak terhad, jadi kita akan utamakan rayuan mahram dahulu,” katanya kepada pemberita di majlis pelepasan petugas haji di sini pada Khamis.
Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini dengan kelulusan itu diberikan berdasarkan jumlah 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini.
Syed Saleh berkata, persiapan haji tahun ini berjalan lancar dengan penerbangan pertama jemaah haji negara dijadual pada 9 Mei ini.
Ditanya persediaan TH sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir di Tanah Suci semasa musim haji, beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia menangani sebarang kemungkinan yang timbul.
"Seperti mana namanya banjir kilat, ia berlaku secara ad hoc dan reda dalam masa singkat. Pengalaman kita pernah hadapi sebelum ini, saya ingat pada 2004, 2008, 2016 dan 2018 berlaku hujan lebat, kilat, petir dan banjir.
"Kita sentiasa membuat simulasi serta berbincang dengan semua pihak, pemegang taruh di Malaysia dan Arab Saudi, juga kedutaan di sana, Insya-ALLAH setakat ini apa yang berlaku sebelum ini, dapat kita tangani dengan baik,” katanya.
Semalam, media antarabangsa melaporkan banjir susulan hujan lebat melanda bahagian utara Arab Saudi sehingga memaksa penutupan sekolah dan jalan raya.
Sementara itu, Syed Saleh menasihati orang ramai yang ingin menunaikan ibadah haji supaya berhati-hati dengan tawaran visa furada dengan perlu memastikan kesahihannya bagi mengelak ditipu.
Hari ini, seramai 150 petugas TH termasuk 14 pengamal media daripada pelbagai agensi antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM, Astro Awani dan Media Prima berlepas ke Tanah Suci.
Hampir 600 petugas TH akan digerakkan ke Arab Saudi pada musim haji pada tahun ini, bagi memudahkan urusan jemaah haji. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!