HUNCH pupuk minat pelajar dalam sains teknologi

Florence ketika sesi perkongsian secara dalam talian pada Space Symposium “Beyond Boundaries: Connecting World in Space” yang berlangsung di UniKL MIAT, Sepang pada Khamis.
Florence ketika sesi perkongsian secara dalam talian pada Space Symposium “Beyond Boundaries: Connecting World in Space” yang berlangsung di UniKL MIAT, Sepang pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Program Sekolah Tinggi Bersatu dengan NASA untuk Mencipta Perkakasan (HUNCH) diharap dapat menarik minat generasi muda terutamanya pelajar sekolah menengah di negara ini untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Presiden Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Kushsairy Abdul Kadir berkata, ia berikutan kemasukan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) masih kurang memuaskan sedangkan tenaga kerja dalam aliran tersebut amat penting untuk pembangunan negara pada masa hadapan.

"Kalau tengok dari segi data yang dikongsi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih kurang hanya 20 peratus yang membuat STEM di peringkat sekolah dan daripada peratusan itu pun, tidak semua yang akan buat dalam bidang STEM atau TVET di peringkat universiti.

Forum 'Masa Depan Ekonomi Angkasa ASEAN 2030” yang dihoskan oleh Dr Mohd Hafizi Shamsudin (tengah) bersama panelis (dari kiri) Pengasas Ocullospace, Dr Franco Gan; Pengarah Bahagian Perancangan dan Komunikasi Strategik Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Norafiza Saleha Sahlan; Naib Presiden Program Kerajaan Nanoracks, AS, Scott Rodriguez dan Pengurus Kenderaan Artemis NASA, Branelle Rodriguez pada Space Symposium “Beyond Boundaries: Connecting World in Space” yang berlangsung di UniKL MIAT, Sepang pada Khamis. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Forum 'Masa Depan Ekonomi Angkasa ASEAN 2030” yang dihoskan oleh Dr Mohd Hafizi Shamsudin (tengah) bersama panelis (dari kiri) Pengasas Ocullospace, Dr Franco Gan; Pengarah Bahagian Perancangan dan Komunikasi Strategik Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Norafiza Saleha Sahlan; Naib Presiden Program Kerajaan Nanoracks, AS, Scott Rodriguez dan Pengurus Kenderaan Artemis NASA, Branelle Rodriguez pada Space Symposium “Beyond Boundaries: Connecting World in Space” yang berlangsung di UniKL MIAT, Sepang pada Khamis. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Salah satunya mungkin disebabkan cabaran-cabaran daripada profesion lain seperti perakaunan, ekonomi gig dan mungkin pelajar-pelajar di peringkat sekolah ini tidak didedahkan dalam bidang-bidang yang menarik minat mereka.

"Saya rasa program HUNCH ini kalau dapat diperkenalkan di peringkat sekolah menengah, kita dapat menarik lebih ramai pelajar Sains selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk sambung dalam bidang sains teknologi di peringkat universiti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas acara 'Space Symposium Beyond Boundaries: Connecting World in Space' di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UNIKL MIAT) pada Khamis.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif OculloSpace, Ts Mohd Zahirruddin Mohd; Pengarah Bahagian Perancangan dan Komunikasi Strategik Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Norafiza Saleha Sahlan dan Naib Presiden Program Kerajaan Nanoracks, Amerika Syarikat (AS), Scott Rodriguez.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ujar Kushsairy, perkongsian pengalaman daripada Timbalan Ketua Juruteknologi Ibu Pejabat Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Florence Tan juga memberi inspirasi kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam aliran sains teknologi.

Kushsairy
Kushsairy

"Melihat kepada kejayaan Florence Tan sebagai saintis NASA yang membesar di negara ini, mungkin kita boleh melahirkan lebih ramai individu seperti beliau terutamanya pelajar UNIKL.

"Insya-ALLAH dengan kolaborasi dengan pihak OculloSpace dan pemain-pemain industri aeroangkasa di Malaysia, kita akan berusaha membuka hala tuju untuk pelajar kita supaya mendapat peluang pengajian atau biasiswa di NASA pada masa hadapan," ulasnya.

Dalam pada itu, Pengasas OculloSpace, Dr Franco Gan berkata, program HUNCH yang dijangka mengambil masa tiga hingga enam bulan itu, dapat membuka peluang kepada para pelajar untuk mendapat pengalaman pendidikan berkaitan NASA di negara ini.

Franco
Franco

Menurut Franco, menerusi inisiatif berkenaan, pelajar-pelajar didedahkan dengan realiti cabaran yang didepani Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) NASA malah diberi peluang untuk menyelesaikan permasalahan tersebut melalui pembelajaran kursus yang disediakan.

"Kita hendak menyediakan platform HUNCH ini sebagai benih untuk memperkembangkan kerjaya ke angkasa lepas kepada semua pelajar di negara ini.

"Ini adalah masa terbaik untuk kita masukkan pengetahuan-pengetahuan transformasi daripada AS ke negara ini melalui program HUNCH.

"Pertama ia diperkembangkan ke Norway, Eropah. Tetapi di Asia, negara kita antara yang pertama (diperkenalkan)," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!