PRK KKB: Orang Asli mahu isu pewartaan tanah diselesaikan

Rashid
Rashid
A
A
A

HULU SELANGOR - "Setakat beri beras dan gula kami boleh beli sendiri, sebaliknya Orang Asli mahu isu lebih besar seperti isu pewartaan tanah serta hak keistimewaan pribumi diberikan perhatian calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu," kata Presiden Parti Orang Asli Malaysia (Asli), Rashid Ka'.

Rashid berkata, kawasan yang tidak diwartakan mengundang risiko kemungkinan tanah mereka diambil untuk tujuan pembangunan.

Menurutnya, mereka memerlukan jaminan jangka masa panjang dan bukan sekadar gula-gula PRK bagi meraih undi Orang Asli.

"Aspek kebajikan bukan keutamaan ketika ini tetapi isu yang lebih besar adalah status tapak rumah tidak diwartakan, kerajaan negeri masih berdolak-dalik.

"Mengikut Akta 134, kawasan yang memiliki 5,000 ekar perlu diwartakan namun perkara tersebut tidak dibuat.

"Apabila dituntut, alasan diberikan adalah pertindihan akta lain seperti hutan simpan kawasan tadahan air hujan, " katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan aktiviti mengutip hasil hutan juga kini dibatasi dengan akta tiga serangkai iaitu Akta Perhilitan, Akta Perhutanan Negara, Akta Alam Sekitar yang menyebabkan mereka berdepan tindakan pencerobohan.

"Hak keistimewaan Orang Asli kini semakin dipinggir jika era 90-an ke bawah memang tiada masalah namun selepas perubahan dasar baharu menyebabkan Orang Asli terkesan melalui pindaan akta dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk tangkap katak bihong pun perlu berlesen sedangkan pengambilan lesen bukan percuma sebaliknya berbayar," katanya.

Selain itu beliau berharap, perkampungan Orang Asli diberikan akses jalur lebar untuk meneroka ekonomi digital melalui pemasaran hasil kraf secara dalam talian.

Beliau juga berharap, kerajaan memperbanyak penglibatan lebih ramai Orang Asli dalam pengurusan Jakoa yang lebih memahami keperluan dan kehendak masyarakat setempat.

"Dalam Jakoa ramai kakitangan am terdiri Orang Asli namun bilangan di peringkat kumpulan pengurusan tertinggi masih rendah.

"Jawatan itu perlu diisi sekurang-kurangnya 60 peratus Orang Asli," katanya.

Dianggarkan lima peratus Orang Asli akan membuang undi pada PRK Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!